Tuaran: Pertandingan Randawi Tavantang Kaamatan (RTK) tahun ini membuka tirainya dengan tiga wakil daerah/daerah kecil muncul juara pada peringkat akhir RTK Tuaran yang berlangsung pada malam Sabtu.
Kristern Olwen Jafili, 21, dinobatkan sebagai juara RTK Tuaran manakala Daniel Chrionie Taning, 30, meraih gelaran RTK Tamparuli dan Hassan Der, 24, memenangi gelaran RTK Kiulu.
Setiap pemenang menerima wang tunai RM3,000, trofi, sundi’ (perhiasan kepala tradisional Suang Lotud) yang ditempah khas serta barangan dan perkhidmatan tajaan.
Ezra Mark Shynno muncul naib juara dengan membawa pulang RM2,000, trofi serta barangan dan perkhidmatan tajaan manakala Adrie Hairold Damanih menduduki tempat ketiga dan menerima RM1,500, trofi serta tajaan.
Finalis lain termasuk Browell Ginsawat, Daniel Heiron Gom dan Einer Equest Kuyun.
Pada malam yang sama pertandingan Sodop Unduk Ngadau Kaamatan (UNK) Tuaran 2026 turut diadakan yang menampilkan beberapa anugerah termasuk reka bentuk terbaik dan kecantikan semula jadi.
Ahli Parlimen Tuaran Datuk Seri Wilfred Madius Tangau hadir mewakili Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor dan menyampaikan hadiah utama.