PAPAR: Sebanyak RM559.85 juta diperuntukkan kepada Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan (Maffi) tahun ini bagi meningkatkan keterjaminan makanan dan Kadar Sara Diri (SSR) Sabah.
Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata pelbagai usaha telah dan sedang dilaksanakan kerajaan bagi memastikan keterjaminan makanan negeri, termasuk penubuhan Lembaga Padi dan Beras Sabah serta pembangunan jelapang padi di seluruh negeri, seperti di sini dan daerah sekitar termasuk Membakut, Beaufort dan Kuala Penyu.
“Sesuai dengan semangat Pesta Kaamatan yang menghargai hasil tuaian, sektor pertanian kekal sebagai salah satu daripada tiga tonggak utama yang memacu pertumbuhan ekonomi negeri di bawah Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya 2.0 (SMJ 2.0).
“Ini mencerminkan komitmen kerajaan negeri untuk memastikan sekuriti makanan kekal kukuh, khususnya dalam keadaan ketidaktentuan ekonomi dan geopolitik global hari ini,” katanya pada majlis pelancaran Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah di Dewan Masyarakat di sini, Jumaat.
Beliau berkata kerajaan akan terus melaksanakan pelbagai inisiatif bantuan bagi meningkatkan taraf hidup dan sosioekonomi rakyat, termasuk meneruskan bantuan sedia ada dalam aspek pendidikan, modal insan dan kesejahteraan rakyat.
Katanya, kerajaan negeri komited memastikan pembangunan inklusif dan seimbang di seluruh Sabah agar setiap lapisan masyarakat dapat menikmati kemakmuran yang dikecapi.
Pada masa sama, Ketua Menteri menggalakkan rakyat menyokong produk tempatan, khususnya hasil pertanian negeri ini sebagai langkah memperkukuh ekonomi domestik.
“Kemajuan yang kita kecapi hari ini tidak akan bermakna tanpa perpaduan dan kerjasama yang utuh dalam kalangan rakyat berbilang kaum dan agama di negeri ini.
“Oleh itu, saya menyeru seluruh rakyat Sabah untuk terus berganding bahu bersama kerajaan dalam menjayakan setiap agenda, khususnya Hala Tuju Sabah Maju Jaya 2.0,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata pemilihan Papar sebagai tuan rumah pelancaran Pesta Kaamatan tahun ini amat bertepatan memandangkan daerah itu terkenal sebagai antara kawasan jelapang padi subur di Sabah.
“Papar bukan sahaja kaya dengan hasil, tetapi juga nilai budaya dan semangat kekitaan masyarakat berbilang kaum yang hidup dalam suasana aman dan harmoni. Inilah cerminan sebenar wajah Sabah yang kita banggakan.
“Daerah ini turut menampilkan perubahan membanggakan dengan beberapa projek pembangunan infrastruktur dan komersial yang telah dan sedang dilaksanakan, termasuk di Benoni dan kawasan sekitar Kinarut,” katanya.
Menurut beliau, keunikan itu bertepatan dengan tema Pesta Kaamatan tahun ini iaitu “Kaamatan: Menuai Perpaduan, Meraikan Keharmonian” yang menzahirkan kepentingan perpaduan dalam kalangan rakyat berbilang kaum dan etnik.
Beliau melahirkan rasa gembira dengan kehadiran serta semangat yang ditunjukkan oleh orang ramai pada majlis pelancaran Pesta Kaamatan itu tanpa mengira agama dan bangsa.
Tambahnya, generasi muda perlu dididik untuk memahami, menghormati dan menerima kepelbagaian sebagai asas keharmonian dan kekuatan perpaduan, terutama dalam dunia yang semakin moden dan mencabar.
Dalam majlis sama, Hajiji turut mengumumkan peruntukan RM1 juta bagi pembinaan gelanggang futsal berbumbung lengkap dengan astaka untuk daerah ini, sebagai tanda keprihatinan kerajaan negeri terhadap keperluan rakyat.