TENOM: Sabah memperkenalkan Dana Khas Pembangunan Keusahawanan berjumlah RM1 juta serta memperluas program SME-Up 2026 bagi memperkukuh usahawan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) di seluruh negeri.
Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Datuk Ewon Benedick berkata inisiatif itu bertujuan membantu usahawan meningkatkan kapasiti pengeluaran, menambah baik kualiti produk serta menembusi pasaran lebih luas.
“Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor telah meluluskan Dana Khas untuk PMKS Sabah bermula dengan RM1 juta bagi membantu usahawan yang berdepan cabaran semasa,” katanya pada majlis pelancaran Karnival Usahawan PMKS Sabah 2026 (Zon Tenom) di Padang Pekan Tenom, Sabtu.
Ewon berkata skop dana itu turut diperluas tahun ini untuk merangkumi koperasi, selain usahawan dan persatuan perniagaan.
Katanya, bantuan meliputi modal permulaan, peningkatan kualiti produk, pemasaran, pembelian mesin dan peralatan serta pembangunan modal insan.
Permohonan tertakluk kepada kelulusan di peringkat kementerian dengan had maksimum peruntukan sebanyak RM20,000.
Sementara itu, program SME-Up 2026 akan diperluas ke beberapa daerah di seluruh negeri bagi meningkatkan penyertaan usahawan tempatan.
“Program jelajah SME-Up akan meliputi Kota Kinabalu, Tawau, Tenom, Keningau, Membakut, Putatan, Kota Marudu dan Kadamaian,” katanya.
Program itu menyediakan sokongan dalam bentuk mesin dan peralatan termasuk mesin retort, pendaftaran cap dagangan serta pensijilan halal bagi meningkatkan daya saing produk.