Sun, 26 Apr 2026
Headlines:
Advertisement
Sabah fokus sektor pertanian tingkat keterjaminan makanan
Published on: Friday, April 24, 2026
Published on: Fri, Apr 24, 2026
By: Larry Ralon
Text Size:
Text:
Sabah fokus sektor pertanian tingkat keterjaminan makanan
Musa berkata sektor pertanian akan terus dimodenkan menerusi pelbagai inisiatif strategik termasuk Program Revolusi Padi dan pembangunan bioteknologi.
Kota Kinabalu: Kerajaan Negeri terus memberi tumpuan kepada pengukuhan sektor makanan dan agro melalui pendekatan yang lebih moden, bersepadu dan berteraskan inovasi bagi memastikan keterjamiman makanan di Sabah.

Yang di-Pertua Negeri Tun Musa Aman berkata sektor pertanian akan terus dimodenkan menerusi pelbagai inisiatif strategik termasuk Program Revolusi Padi dan pembangunan bioteknologi.

Advertisement
Menurutnya, usaha ini penting bagi meningkatkan kecekapan serta kualiti hasil pertanian negeri.

“Dalam usaha meningkatkan keterjaminan makanan, sektor pertanian akan terus dimodenkan. Tumpuan akan diberikan kepada pelaksanaan Program Revolusi Padi dan pembangunan bioteknologi bagi meningkatkan kecekapan serta kualiti pengeluaran,” katanya dalam ucapan dasar sempena istiadat pembukaan penggal pertama sidang Dewan Undangan Negeri (Dun) ke-17, di sini, Khamis.

SPONSORED CONTENT
Cosmobeauté Malaysia and beautyexpo will expand into East Malaysia with the launch of the Cosmobeauté Malaysia Borneo Festival 2026 at the Sabah International Convention Centre (SICC) from May 25 to 26.
Musa berkata aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D) turut akan dipertingkatkan termasuk penghasilan varieti baharu serta bahan tanaman berkualiti tinggi.

Beliau menambah Kerajaan Negeri telah memperkenalkan Inisiatif Revolusi Ekonomi Pertanian Luar Bandar (RAER) 2025–2030 sebagai langkah strategik untuk memperkukuh keterjaminan makanan dan merancakkan ekonomi luar bandar.

Advertisement
Antara program baharu di bawah inisiatif ini ialah Program Kebun Dapur, yang menggalakkan pengeluaran pertanian di peringkat isi rumah.

“Program baharu di bawah RAER ialah Program Kebun Dapur, diperkenalkan bagi menggalakkan pengeluaran pertanian di peringkat isi rumah dengan memanfaatkan ruang di kawasan kediaman,” katanya.

Advertisement
Beliau berkata inisiatif itu bukan sahaja membantu mengurangkan kos sara hidup malah memupuk budaya bercucuk tanam dalam kalangan masyarakat.

Sementara itu, Musa berkata sektor perladangan, khususnya kelapa sawit, kekal sebagai tulang belakang utama pertumbuhan ekonomi negeri.

Katanya, kerajaan akan terus bekerjasama dengan pemain industri dan pekebun kecil bagi meningkatkan produktiviti melalui penggunaan teknologi moden serta inovasi.

“Bagi memastikan industri ini kekal mampan dan berdaya tahan, Kerajaan Negeri bersama pihak berkepentingan industri dan pekebun kecil akan terus meningkatkan produktiviti melalui inovasi, mekanisasi, teknologi pertanian tepat dan penggunaan biomassa secara optimum,” katanya.

Dalam sektor perikanan, beliau berkata pendekatan berasaskan Ekonomi Biru akan terus diberi keutamaan bagi memastikan pengeluaran yang mampan.

Katanya, pelbagai program pembangunan dan sokongan termasuk pemerkasaan kemudahan jabatan, pengukuhan industri hiliran serta usaha pemuliharaan akan dilaksanakan bagi memastikan hasil perikanan yang lestari.

Beliau menambah kemudahan jeti di Kompleks Perikanan Safma akan diperluaskan bagi menampung peningkatan pendaratan ikan.

“Kemudahan jeti di Kompleks Perikanan Safma juga akan ditambah dengan sasaran untuk menampung peningkatan lebih 20 peratus pendaratan ikan di negeri ini,” katanya.

Bagi sektor penternakan, Musa berkata ekosistem industri ternakan negeri akan terus diperkukuh selaras dengan Dasar Agromakanan Negara 2.0 serta pelan strategik jabatan berkaitan.

Katanya, tumpuan diberikan kepada peningkatan kadar sara diri (SSR) bagi ternakan ruminan, jaminan keselamatan makanan serta pengukuhan sistem kesihatan haiwan.

“Tumpuan diberikan kepada peningkatan kadar sara diri (SSR) bagi ternakan ruminan, jaminan keselamatan makanan serta pengukuhan sistem kesihatan haiwan di seluruh negeri,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa pengukuhan menyeluruh sektor pertanian dan agro merupakan asas penting dalam memastikan kestabilan bekalan makanan serta kesejahteraan rakyat di Sabah.
* Follow us on our official WhatsApp channel and Telegram for breaking news alerts and key updates!

* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.
Advertisement
Share this story
Advertisement
Advertisement
Follow Us  
           
Daily Express News  
© Copyright 2026 Sabah Publishing House Sdn. Bhd. (Co. No. 35782-P)
close
Try 1 month for RM 18.00
Already a subscriber? Login here
Try 1 month for RM 18.00
open
Try 1 month for RM 18.00
Already a subscriber? Login here