Sat, 30 May 2026
Headlines:
Cubaan pindah minyak sawit gagal, rampasan bernilai RM2.08 juta
Published on: Monday, May 04, 2026
Published on: Mon, May 04, 2026
By: Winnie Kasmir, Lagatah Toyos
Text Size:
Text:
Cubaan pindah minyak sawit gagal, rampasan bernilai RM2.08 juta
LIMA lelaki ditahan ketika memindahkan minyak sawit mentah secara haram.
SANDAKAN: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menggagalkan aktiviti pemindahan minyak sawit mentah secara haram di perairan Sandakan pada Sabtu, dengan rampasan dianggarkan bernilai RM2.08 juta termasuk dua buah kapal.

Pengarah Zon Maritim Sandakan Muhamad Suhairy Hussain berkata kejadian itu dikesan kira-kira pukul 2 pagi ketika bot ronda menjalankan rondaan rutin susulan maklumat awam.

Advertisement
Beliau berkata pasukan operasi menemukan sebuah tongkang mencurigakan kira-kira 0.10 batu nautika di selatan Bandar Leila di sini dan pemeriksaan mendapati minyak sawit mentah sedang dipindahkan ke sebuah bot kargo kecil menggunakan pam.

“Apabila bot ronda menghampiri lokasi, beberapa individu cuba melarikan diri namun berjaya dihalang oleh anggota penguat kuasa.

SPONSORED CONTENT
Cosmobeauté Malaysia and beautyexpo will expand into East Malaysia with the launch of the Cosmobeauté Malaysia Borneo Festival 2026 at the Sabah International Convention Centre (SICC) from May 25 to 26.
“Pemeriksaan lanjut mendapati kira-kira tujuh tan minyak sawit mentah telah dipindahkan ke dalam tangki bot kargo kecil itu manakala dianggarkan tiga tan lagi masih berada dalam barge,” katanya di sini pada Ahad.

Dalam operasi itu, katanya, lima individu ditahan terdiri daripada empat lelaki tempatan dan seorang warga Filipina berusia antara 29 hingga 48 tahun, dipercayai merupakan anak kapal barge dan bot kargo kecil berkenaan.

Advertisement
“Kedua-dua kapal bersama muatan yang dianggarkan bernilai RM2.08 juta itu dibawa ke jeti Zon Maritim Sandakan untuk siasatan lanjut oleh Maritim Malaysia dengan kerjasama Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB),” katanya.

Muhamad berkata Maritim Malaysia akan terus mempergiat rondaan dan penguatkuasaan bagi membanteras aktiviti haram di perairan negara.

Advertisement
Orang awam juga diminta menyalurkan maklumat ke Pusat Operasi Maritim Sandakan di 089-229504 atau melalui talian kecemasan 999 bagi membolehkan tindakan segera diambil.

Di TAWAU, seorang lelaki tempatan berusia 50 tahun ditahan dalam satu serbuan di sebuah stesen minyak di Batu 3, Jalan Apas pada Sabtu selepas didapati mengangkut 300 liter diesel bersubsidi tanpa permit menggunakan kenderaan yang diubah suai.

Ketua Polis Daerah Tawau Jasmin Hussin berkata serbuan itu dijalankan kira-kira pukul 4.40 petang.

“Suspek gagal mengemukakan sebarang lesen atau permit bagi memiliki 300 liter diesel bersubsidi terbabit,” katanya pada Ahad. Operasi itu dijalankan oleh sepasukan anggota daripada Bahagian Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam polis yang diketuai DSP Sukvinderjeet Singh A/L Channan Singh, hasil risikan dan pemantauan.

Pemeriksaan lanjut menemukan sebuah tangki gentian yang diubah suai dipercayai digunakan untuk menyimpan bahan api berkenaan.

Polis turut merampas sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Isuzu Trooper, kunci kenderaan serta tangki ubah suai yang digunakan untuk penyimpanan diesel.

Jumlah keseluruhan rampasan termasuk kenderaan, diesel dan peralatan dianggarkan bernilai RM11,445.

Jasmin berkata suspek bersama barang rampasan diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) cawangan Tawau untuk tindakan lanjut.

Kes disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.

Beliau turut memberi amaran kepada orang ramai agar tidak terlibat dalam aktiviti pengendalian barangan kawalan secara haram, sambil menegaskan tindakan tegas akan diambil terhadap pesalah.

Orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kegiatan sedemikian digesa tampil membantu pihak berkuasa, termasuk melalui platform Volunteer Smartphone Patrol (VSP).

Sementara itu, pihak berkuasa merampas lagi 300 liter diesel bersama sebuah kenderaan yang diubah suai dipercayai untuk kegiatan penyeludupan di daerah ini, Sabtu.

Kes itu diserahkan oleh polis kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Cawangan Tawau untuk tindakan lanjut.

KPDN Sabah dalam kenyataan berkata rampasan dibuat sekitar jam 4.40 petang selepas pemeriksaan mendapati kenderaan itu diubahsuai bagi tujuan penyimpanan bahan api dalam kuantiti lebih besar.

Nilai keseluruhan rampasan termasuk kenderaan dan minyak diesel dianggarkan mencecah RM11,445. 

KPDN Tawau membuka kertas siasatan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 bagi membolehkan tindakan lanjut diambil terhadap pihak yang terlibat. 
* Follow us on our official WhatsApp channel and Telegram for breaking news alerts and key updates!

* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.
Advertisement
Share this story
Advertisement
Advertisement
Follow Us  
           
Daily Express News  
© Copyright 2026 Sabah Publishing House Sdn. Bhd. (Co. No. 35782-P)
close
Try 1 month for RM 18.00
Already a subscriber? Login here
Try 1 month for RM 18.00
open
Try 1 month for RM 18.00
Already a subscriber? Login here