Mon, 27 Apr 2026
Headlines:
Advertisement
‘Bekalan makanan tidak terputus’
Published on: Sunday, April 26, 2026
Published on: Sun, Apr 26, 2026
By: Jo Ann Mool
Text Size:
Text:
‘Bekalan makanan tidak terputus’
CHAN (dua kiri), Dayang Khatijah (kiri) melawat salah satu reruai.
Kota Kinabalu: Malaysia tidak mengalami sebarang kekurangan bekalan makanan walaupun berlaku gangguan rantaian bekalan global susulan konflik Asia Barat, kata Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Chan Foong Hin.

Beliau berkata meskipun krisis itu berkembang daripada kejutan tenaga kepada cabaran bekalan global yang lebih luas, keutamaan kerajaan adalah memastikan bekalan tidak terputus.

Advertisement
“Gangguan bekalan mungkin berlaku sementara, tetapi yang penting ia tidak terhenti sepenuhnya. Jika bekalan terputus, walaupun mempunyai wang, kita tidak dapat membeli barangan,” katanya selepas merasmikan Ekspo Makanan Antarabangsa Sabah (Sifex) 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), Sabtu. 

Chan berkata potensi gangguan boleh berlaku di laluan global utama seperti Selat Hormuz, yang berkemungkinan menjejaskan rantaian bekalan dan meningkatkan harga.

SPONSORED CONTENT
Cosmobeauté Malaysia and beautyexpo will expand into East Malaysia with the launch of the Cosmobeauté Malaysia Borneo Festival 2026 at the Sabah International Convention Centre (SICC) from May 25 to 26.
Beliau berkata petunjuk semasa menunjukkan daya tahan berterusan dengan aktiviti perniagaan dan perbelanjaan pengguna kekal aktif walaupun berdepan ketidaktentuan global.

“Ringkasnya, setakat ini kita masih tidak berdepan sebarang kekurangan makanan,” katanya sambil merujuk kehadiran orang ramai yang tinggi di pasar hujung minggu seperti Jalan Gaya sebagai gambaran kestabilan bekalan dan permintaan.

Advertisement
Beliau berkata Malaysia kekal antara negara yang lebih berdaya tahan di rantau ini dalam menangani gangguan rantaian bekalan meskipun ketidaktentuan global berterusan.

Terdahulu dalam ucapannya, Chan berkata krisis global berpunca daripada konflik Asia Barat telah mengganggu laluan tenaga utama serta meningkatkan kos bahan api, pengangkutan, baja dan makanan, sekali gus memberi tekanan kepada rantaian bekalan.

Advertisement
Beliau berkata kerajaan mengambil tiga pendekatan utama iaitu memastikan bekalan asas mencukupi, mengutamakan pengagihan serta mengurus kenaikan harga dalam kemampuan fiskal.

“Sehingga April 2026, kira-kira RM7 bilion telah dibelanjakan bagi subsidi petrol dan diesel,” katanya, menambah langkah subsidi bersasar terus dilaksanakan bagi mengurangkan beban pengguna serta memastikan kesinambungan bekalan.

Beliau berkata pelarasan seperti mengehadkan kuota subsidi RON95 tidak menjejaskan akses keseluruhan kerana pengguna masih mempunyai kelayakan untuk membeli bahan api.

Chan berkata langkah perlindungan sosial seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR), Sumbangan Asas Rahmah (Sara) dan inisiatif Payung Rahmah terus membantu mengurangkan kesan peningkatan kos sara hidup.

Program seperti Jualan Rahmah Madani dan Jualan Agro Madani, katanya, menawarkan penjimatan antara 10 hingga 30 peratus bagi barangan keperluan asas dan sedang diperluaskan ke seluruh negara.

Mengenai sektor agromakanan, beliau berkata bantuan dipertingkat bagi menyokong petani dan pekebun kecil, termasuk subsidi serta insentif, untuk menstabilkan kos pengeluaran dan memastikan kesinambungan rantaian bekalan makanan.

Beliau turut menekankan kerjasama lebih erat antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri, termasuk pelantikan Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah (Maffi) sebagai penyelaras Program Pemerkasaan Agromakanan Negara (PPAN) di Sabah.

Antara projek berimpak tinggi yang dicadangkan ialah pembinaan jeti perikanan di Sepanggar, kilang pemprosesan padi di Kota Belud, penanaman jagung bijirin di Trusan Sapi serta hab penternakan babi di Tongod.

Chan juga mempromosikan pertanian pintar bandar sebagai penyelesaian praktikal kepada peningkatan kos pengeluaran, dengan menyifatkannya sebagai kaedah yang menggabungkan teknologi moden dan amalan mampan untuk menghasilkan makanan secara efisien dalam ruang terhad.

Beliau berkata projek perintis melibatkan tanaman sawi telah dilaksanakan di Wisma Tani dan berharap inisiatif itu dapat diperluaskan ke seluruh negara melibatkan premis kerajaan, sektor swasta serta komuniti.

Beliau memberi jaminan bekalan makanan asas khususnya beras di Sabah adalah mencukupi dan terjamin.

“Kami akan memastikan sentiasa ada beras di atas meja,” katanya.

Sementara itu, Pengarah ESM Exhibitor Relations Malaysia Datuk Dayang Khatijah Datu Bachtiyal berkata ekspo berkenaan menerima sambutan menggalakkan, melebihi jangkaan daripada orang ramai dan komuniti perniagaan.

“Sambutan sangat menggalakkan dan ia memberi motivasi untuk kami terus menganjurkan acara ini,” katanya.

Chan berkata Sifex menunjukkan pertumbuhan kukuh sejak diperkenalkan pada 2023, dengan peningkatan daripada kira-kira 250 reruai kepada lebih 400 pada tahun ini.

Edisi keempat itu menarik penyertaan dari Semenanjung Malaysia, Sarawak serta negara jiran termasuk Brunei, Indonesia, Filipina dan Taiwan.

Beliau berkata sokongan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya mencerminkan keyakinan terhadap potensi Sabah sebagai destinasi pelancongan berasaskan ekspo.

“Sifex membuktikan negeri ini mempunyai potensi besar sebagai hab pelancongan berasaskan ekspo,” katanya, sambil memuji peranan usahawan wanita di sebalik penganjuran acara itu.

Chan menjangkakan ekspo berkenaan menarik lebih 15,000 pengunjung sepanjang tiga hari penganjuran, sekali gus menjana jualan perniagaan kepada pengguna (B2C) serta peluang perniagaan antara syarikat (B2B).

Beliau berkata walaupun jualan kepada pengguna bersifat segera, interaksi B2B menawarkan potensi jangka panjang yang lebih sukar diukur.

Sifex 2026 yang bertemakan “Tasting Tomorrow’s Market” terus menerima sambutan menggalakkan daripada orang ramai dan komuniti perniagaan.

Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia Datuk Shaharuddin Abu Sohot.
* Follow us on our official WhatsApp channel and Telegram for breaking news alerts and key updates!

* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.
Advertisement
Share this story
Advertisement
Advertisement
Follow Us  
           
Daily Express News  
© Copyright 2026 Sabah Publishing House Sdn. Bhd. (Co. No. 35782-P)
close
Try 1 month for RM 18.00
Already a subscriber? Login here
Try 1 month for RM 18.00
open
Try 1 month for RM 18.00
Already a subscriber? Login here