TAWAU: Seorang pemandu bas sekolah dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen di sini, pada Jumaat, daripada tuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang pelajar perempuan berusia 15 tahun, dua tahun lalu.
Hakim Ahmad Faizadh Yahaya membuat keputusan itu terhadap Abdul Hassan Subahan, 34, selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh.
Tertuduh sebelum ini didakwa melakukan perbuatan tersebut di dalam sebuah van jenis Toyota Hiace yang diparkir di hadapan kedai berhampiran sebuah sekolah menengah di Semporna, antara jam 6 hingga 6.20 pagi pada 27 Jun 2024.
Dia didakwa mencabul pelajar berkenaan yang merupakan salah seorang penumpang bas sekolahnya selepas menghantar pelajar lain ke sekolah pada hari kejadian.
Abdul Hassan dituduh di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, dan boleh dihukum di bawah akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun serta boleh dikenakan sebatan, jika sabit kesalahan.
Perbicaraan kes bermula pada 25 Sept 2025 dengan enam saksi pendakwaan memberi keterangan sepanjang prosiding.
Advertisement

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Haikal Hazwan Md Yatin, manakala tertuduh diwakili peguam Nigel Keong Kaning dan Mohamad Syazwan Shah Mohamad Ali.