NABAWAN: Isu berlarutan hampir enam dekad membabitkan skim penempatan tanah di Nabawan kini diberi perhatian serius apabila jawatankuasa pembangunan diaktifkan semula bagi mempercepat penyelesaian berkaitan pemilikan, pembangunan dan hak penduduk.
Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Datuk Jamawi Jaafar (gambar) berkata keputusan itu dibuat dalam sesi dialog bersama penduduk di Dewan Serbaguna Majlis Daerah Nabawan, Selasa.
Beliau berkata skim berkenaan wujud sejak kira-kira 58 tahun lalu dan telah diwartakan seawal 1958, namun pelbagai isu masih belum diselesaikan hingga kini.
“Susulan soalan lisan Adun Nabawan pada sidang DUN lalu, kawasan ini perlu diberi perhatian termasuk menunaikan janji berkaitan pemberian geran tanah,” katanya.
Menurutnya, hasil dialog mendapati banyak perkara perlu diselesaikan khususnya berkaitan pemilikan tanah, pembangunan kawasan serta hak penduduk yang berpindah sejak 1960-an.
Jamawi berkata kawasan itu pada asalnya diamanahkan kepada kementeriannya untuk dibangunkan di bawah Lembaga Padi Negeri Sabah, namun pelaksanaannya memerlukan pendekatan lebih menyeluruh.
Advertisement

Katanya, jawatankuasa pembangunan skim Nabawan yang sedia ada kini diaktifkan semula, dipengerusikan Pegawai Daerah serta diselaraskan bersama Adun Nabawan bagi mengumpul cadangan dan memorandum untuk tindakan lanjut kementerian.
“Di pihak kementerian, kita akan membantu berdasarkan cadangan daripada pihak daerah, pimpinan tempatan dan masyarakat,” katanya.
Beliau menegaskan tindakan susulan akan diambil bagi memastikan hak penduduk dipenuhi selepas proses penilaian di peringkat daerah.
Dalam pada itu, Jamawi berkata pihaknya turut memberi perhatian terhadap tanah yang telah digazetkan tetapi belum dibangunkan termasuk tanah KPD dan kategori lain.
Menurutnya, pembangunan tanah itu bukan sahaja meningkatkan ekonomi setempat malah membuka peluang pekerjaan kepada generasi baharu.
Beliau berkata usaha itu selari dengan fokus kementerian terhadap keterjaminan makanan termasuk pengeluaran beras, padi dan jagung yang masih mencatat kadar sara diri rendah.
“Sebagai contoh, tahap sara diri jagung hanya sekitar dua peratus, maka lebih banyak kawasan perlu dibangunkan,” katanya.
Jamawi yakin Nabawan berpotensi menjadi kawasan pertanian berskala besar, disokong pendekatan mekanisasi menggunakan teknologi moden bagi mengurangkan kos serta menarik minat golongan muda.
Sehubungan itu, beliau berharap kerjasama erat antara kementerian, kepimpinan tempatan dan masyarakat dapat merealisasikan pembangunan lebih teratur serta meningkatkan pendapatan penduduk luar bandar di Nabawan.
Turut hadir Adun Nabawan Datuk Abdul Ghani Mohd Yassin, Setiausaha Tetap kementerian Datuk Jumain Abdul Ghani serta pegawai berkaitan.