Kota Kinabalu: Penglibatan sekolah dalam perlindungan harta intelek menunjukkan perkembangan positif dari semasa ke semasa.
Pengerusi Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO), Riduan Rubin berkata, sehingga kini sebanyak 346 notifikasi hak cipta melalui Pemberitahuan Sukarela Hak Cipta (CVN) direkodkan melibatkan sekolah di seluruh negara.
“Perkembangan ini menunjukkan kesedaran untuk melindungi karya kreatif dalam kalangan pelajar dan guru semakin meningkat.
“Bagaimanapun, adalah penting untuk difahami bahawa perlindungan hak cipta diperoleh secara automatik sebaik sahaja sesuatu karya dihasilkan, manakala notifikasi CVN berfungsi sebagai bukti pemilikan yang lebih kukuh sekiranya diperlukan pada masa hadapan.
“Dalam masa yang sama, bagi komponen harta intelek lain, jumlah permohonan yang direkodkan masih rendah, iaitu 12 permohonan cap dagangan, sembilan permohonan paten dan enam permohonan reka bentuk perindustrian yang melibatkan pihak sekolah di seluruh negara.
“Perbandingan ini menunjukkan walaupun pelajar aktif menghasilkan karya kreatif, perlindungan terhadap inovasi dan ciptaan yang berpotensi untuk dikomersialkan masih belum diberi penekanan sewajarnya,” katanya ketika berucap pada Program IP Talk-Game On: Create. Protect. Own. yang diadakan di Sekolah Sukan Malaysia Sabah di sini, pada Rabu.
Advertisement

Beliau berkata statistik tersebut menunjukkan pelajar mempunyai idea dan kreativiti, namun langkah untuk melindungi serta memanfaatkan idea tersebut sebagai aset bernilai masih perlu diperkukuh.
“Jika dilihat kepada negeri yang terlibat dalam program pada hari ini, data menunjukkan potensi dalam kalangan pelajar amat besar, namun tahap pemanfaatan perlindungan harta intelek masih boleh dipertingkatkan.
“Bagi Sabah, sejumlah 34 notifikasi CVN telah difailkan sejak 2023, namun permohonan bagi komponen lain masih rendah, iaitu satu cap dagangan dan tujuh paten.
“Data ini menunjukkan walaupun aktiviti penciptaan dalam kalangan pelajar semakin berkembang, langkah untuk melindungi inovasi yang mempunyai potensi nilai komersial masih belum dimanfaatkan secara optimum,” tambahnya.
Riduan berharap program berkenaan dapat membuka perspektif baharu kepada pelajar bahawa kejayaan tidak hanya terhad kepada apa yang berlaku di gelanggang, tetapi juga kepada hasil pemikiran dan kreativiti.
Hadir sama Pengarah Kanan Bahagian Cap Dagangan MyIPO, Sharifah Nadiah Syed Sheikh; Penolong Pengarah Sektor Dasar, Perhubungan dan Perancangan, Bahagian Sukan, Kokurikulum dan Kesenian, Kementerian Pendidikan Malaysia, Adzrul Puddin serta Pengetua Sekolah Sukan Malaysia Sabah, M Rahim Md Lair.