KALI pertama mara ke final Anugerah Juara Lagu (AJL), penyanyi Sabah Ryenald Guntabid menyedari tanggungjawab besar yang hadir bersama anugerah berprestij itu.
Terdahulu, Ryenald mencipta kejutan apabila diumumkan sebagai finalis AJL edisi ke-40 menerusi lagu ciptaan sendiri Lumangad Oku Dika bersama sembilan lagi finalis lain yang terdiri daripada nama-nama besar dalam industri seni tanah air.
Bersaing dengan artis ternama seperti Dayang Nurfaizah, Aina Abdul dan Marsha Milan pada pentas final yang dijangka berlangsung pada Ogos tahun ini, Ryenald bagaimanapun enggan pesimis mengenai peluangnya.

Baginya, semua finalis mempunyai peluang besar kerana masing-masing tampil dengan karya yang kuat serta memiliki identiti tersendiri.
“Saya melihat peluang itu sentiasa ada tetapi pada masa yang sama saya sangat sedar saingannya memang sengit.
“Apabila diumumkan sebagai finalis, saya terus memikirkan tentang tanggungjawab yang datang bersama peluang ini.
Advertisement

“Bila sudah sampai ke final AJL, saya tahu saya perlu memberikan yang terbaik dan menghormati pentas sebesar ini,” katanya kepada Hiburan Ekspres.
Dari segi perbelanjaan, Ryenald berkata dia dan pihak pengurusan syarikat rakamannya mahu menilai perkara itu secara bijak.
“Sudah tentu untuk pentas sebesar AJL, kita mahu hadir dengan persembahan yang terbaik dan berkualiti. Tetapi bagi saya ‘besar’ bukan semestinya perlu berlebihan dari segi perbelanjaan.
“Yang lebih penting ialah idea, susunan, kekuatan lagu dan bagaimana persembahan itu benar-benar mempunyai jiwa.
“Jadi saya akan lakukan yang terbaik mengikut kemampuan dan keperluan persembahan dengan perancangan yang matang dan bukan semata-mata mahu nampak mewah,” katanya.
Menurut penyanyi dan komposer berusia 29 tahun itu, persiapan persembahan bagi pentas akhir AJL-40 sedang dilakukan dengan teliti khususnya membabitkan aspek vokal, stamina, kawalan emosi dan konsep persembahan.
“Saya mahu pastikan setiap elemen benar-benar menyokong lagu dan bukan sekadar nampak besar di mata.
“Bagi saya, persembahan yang kuat bukan hanya tentang visual tetapi bagaimana keseluruhan rasa lagu itu dapat disampaikan kepada penonton.
“Jadi saya sedang berusaha sebaik mungkin untuk mencari keseimbangan antara vokal yang mantap dan persembahan yang mampu menyokong lagu ini,” kata penyanyi yang pernah meraih trofi Artis Baru Terbaik dan Vokal Lelaki Terbaik di Anugerah Industri Muzik ke-24 (AIM) itu.
Ditanya sama ada dia meletakkan sebarang sasaran, Ryenald mengakui perkara itu namun baginya sasaran utama adalah memberikan “persembahan yang benar-benar meninggalkan kesan bukan sahaja kepada juri tetapi juga penonton. Jika ada rezeki lebih daripada itu, saya akan menganggapnya sebagai satu berkat dan anugerah yang sangat besar.”
Meneruskan bicara, penyanyi kelahiran Tambunan ini juga berkata kejayaan ke final AJL-40 menjadi bukti bahawa “karya yang lahir daripada kejujuran masih mampu sampai ke hati ramai.”
“Mara ke final AJL bukan sekadar pencapaian peribadi tetapi satu momen yang sangat bermakna dalam perjalanan seni saya.
“Sebagai penyertaan pertama, dengan lagu single pertama dan sebagai karyawan baharu yang terus diberi peluang mara ke final, ia sesuatu yang saya anggap sangat istimewa dan luar biasa.
“Saya benar-benar bersyukur kerana dapat berdiri sebaris dengan nama-nama besar dalam industri,” katanya.
Dalam masa sama, Ryenald mengakui dia tidak akan sampai sejauh ini tanpa sokongan keluarga, pasukan dan peminatnya.
“Terima kasih yang setulus hati kepada semua yang mengundi, menyokong, mendengar, berkongsi dan mendoakan perjalanan saya sejak awal lagi.
“Dari peringkat pertama, ke Muzik Muzik sehinggalah ke final AJL, saya tahu saya tidak sampai ke sini seorang diri.
“Sokongan anda semua sangat besar ertinya buat saya. Apa pun yang akan berlaku di final nanti, saya akan membawa sokongan anda bersama ke pentas itu,” katanya yang turut menghargai kepercayaan yang diberikan terhadap karyanya.