Kota Kinabalu: Kerajaan mengaktifkan Jawatankuasa Tertinggi Penyelarasan Antara Agensi Penguatkuasaan (JTPAAP) bagi memperkukuh penyelarasan tindakan antara agensi dalam membanteras ketirisan serta penyeludupan barang kawalan, khususnya minyak diesel dan petrol.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali berkata, pengaktifan serta merta jawatankuasa itu diputuskan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri pada 11 Mac lalu susulan peningkatan risiko ketirisan bahan api berikutan lonjakan harga minyak global akibat konflik di Asia Barat ketika ini.
Menurutnya, langkah itu juga bertujuan memastikan penguatkuasaan terhadap risiko ketirisan dan penyeludupan barang kawalan dapat dilaksanakan secara lebih bersepadu melibatkan pelbagai agensi penguatkuasaan di peringkat persekutuan dan negeri.
“JTPAAP ditubuhkan bagi memastikan penguatkuasaan terhadap risiko ketirisan dan penyeludupan barang kawalan, khususnya bahan api diesel dan petrol, dapat diselaraskan dengan lebih berkesan melalui kerjasama antara agensi berkaitan.
“Jawatankuasa ini akan dipengerusikan oleh Datuk Amar Fadillah Yusof selaku Timbalan Perdana Menteri, manakala KPDN akan bertindak sebagai urus setia bagi menyelaras tindakan operasi penguatkuasaan,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa sidang media sempena Program Sentuhan Kasih, Jualan Rahmah dan Advokasi Kepenggunaan, di sini, Sabtu.
Armizan berkata, peningkatan harga minyak mentah dunia menunjukkan harga minyak Brent dunia sebelum konflik berada pada paras antara 60 hingga 70 dollar Amerika setong, namun meningkat kepada antara AS$90 hingga melebihi AS$100 setong pada minggu lalu.
Katanya, peningkatan mendadak harga minyak global itu menyebabkan jurang harga antara harga pasaran dan harga runcit bahan api di Malaysia semakin melebar walaupun pelarasan harga telah dibuat bagi tempoh 12 hingga 18 Mac 2026.
Ekoran situasi itu katanya, keadaan berkenaan berpotensi meningkatkan risiko ketirisan dan penyeludupan bahan api sekiranya tidak ditangani melalui penguatkuasaan yang lebih tegas dan bersepadu.
Menurutnya, risiko itu juga lebih ketara di Sabah dan Sarawak kerana kedua-dua wilayah masih menikmati subsidi pukal diesel yang mengekalkan harga pam pada kadar lebih rendah berbanding harga pasaran.
“Harga pam diesel di Sabah dan Sarawak kini ditetapkan pada RM2.15 seliter, berbanding RM3.92 seliter di Semenanjung Malaysia, manakala harga pasaran semasa berdasarkan Mekanisme Harga Automatik (APM) telah mencecah sekitar RM4.30 seliter.
“Perbezaan harga yang ketara ini bermakna pengguna di Sabah dan Sarawak membeli diesel pada harga kurang daripada separuh kos sebenar, sekali gus meningkatkan risiko penyelewengan dan penyeludupan sekiranya tidak dipantau dengan ketat,” katanya.
Mengulas lanjut, Armizan berkata, aktiviti ketirisan dalam negara serta penyeludupan bahan api ke luar sempadan boleh memberi implikasi kewangan yang besar kepada kerajaan sekiranya tidak dibendung.
Menurutnya, pada tahun 2025 saja, jumlah subsidi pukal diesel yang ditanggung kerajaan bagi Sabah dan Sarawak telah mencecah kira-kira RM2 bilion dan daripada jumlah itu, sebanyak RM924 juta diperuntukkan bagi menampung subsidi diesel di Sabah, manakala RM1.08 bilion di Sarawak.
“Berdasarkan kadar penggunaan yang sama serta harga pasaran semasa, tanggungan subsidi diesel bagi kedua-dua negeri itu dijangka meningkat sehingga RM4.6 bilion pada tahun ini.
“Justeru, kerajaan melihat keperluan mendesak untuk memperkukuh penguatkuasaan merentasi semua agensi berkaitan melalui JTPAAP bagi memastikan subsidi kerajaan tidak disalahgunakan,” katanya.
Armizan berkata, operasi penguatkuasaan akan memberi tumpuan kepada kawasan sempadan serta lokasi panas yang dikenal pasti di seluruh negara.
Manakala katanya, Sabah dan Sarawak akan menjadi antara fokus utama operasi memandangkan jurang harga yang besar antara harga subsidi, harga pam dan harga pasaran berpotensi membuka ruang kepada aktiviti ketirisan.
Beliau menegaskan, operasi penguatkuasaan akan dilaksanakan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122) serta Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA/Akta 613).
Katanya, di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961, individu yang disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM1 juta dan bagi kesalahan berikutnya boleh didenda sehingga RM3 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
Bagi syarikat pula katanya, jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM2 juta, manakala bagi kesalahan berikutnya denda boleh meningkat sehingga RM5 juta.
“Inisiatif dan ketegasan ini menunjukkan kerajaan komited memastikan subsidi yang diperuntukkan benar-benar memberi manfaat kepada rakyat dan tidak diseleweng oleh pihak tidak bertanggungjawab,” tegasnya.