Kota Kinabalu: Harga barangan makanan asas di Sabah kekal jauh lebih tinggi berbanding di Semenanjung sekali gus mencetuskan gesaan supaya reformasi struktur dilaksanakan dalam sistem makanan negeri ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Luyang Samuel Wong berkata barangan seperti ayam, telur dan sayur-sayuran terus dijual pada harga lebih mahal walaupun pelbagai inisiatif kerajaan sedang dilaksanakan.
“Pemerhatian hasil lawatan ke pasar basah dan pasar raya tempatan menunjukkan harga kekal tinggi sejak se kian lama,” katanya.
Wong berkata harga ayam dan telur di Sabah sekurang-kurangnya satu hingga dua kali ganda lebih tinggi berbanding di Semenanjung.
Beliau memberi contoh satu papan 30 biji telur gred C di Kota Kinabalu dijual sekitar RM14 hingga RM15 berbanding RM6 hingga RM7 di Kuala Lumpur.
“Ini bukan isu jangka pendek akibat faktor luaran semata-mata tetapi menunjukkan wujud masalah struktur yang lebih mendalam membabitkan sistem kita,” katanya.
Advertisement

Wong berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Datuk Jamawi Jaafar berhubung usaha mengurangkan kebergantungan terhadap import makanan ternakan.
Menurutnya walaupun inisiatif seperti penanaman jagung komersial dialu-alukan namun pelaksanaannya perlu berkesan bagi mengurangkan kos pengeluaran.
“Sabah perlu mempelbagaikan sumber makanan ternakan selain jagung termasuk produk sampingan berasaskan kelapa sawit, ubi kayu, dedak padi dan larva Black Soldier Fly,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa kelemahan dalam logistik dan rantaian bekalan menyumbang kepada harga makanan yang tinggi dengan kos tambahan dalam pengangkutan dan pengedaran.
“Sabah masih bergantung kepada import termasuk makanan ternakan, beras dan sayur-sayuran, sekali gus menjadikannya terdedah kepada gangguan global,” tambahnya.
Sehubungan itu Wong menggesa pendekatan menyeluruh bagi merombak keseluruhan ekosistem makanan supaya pengurangan harga dapat dicapai secara mampan serta memperkukuh keselamatan makanan negeri.