Kota Kinabalu: Usaha menggalakkan penanaman durian premium dan avokado tempatan merupakan antara fokus utama Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan bagi mengurangkan kebergantungan sebanyak 98 peratus terhadap makanan ternakan import.
Menterinya Datuk Jamawi Jaafar berkata inisiatif itu selaras dengan usaha memperkukuh sektor agromakanan di samping membantu usahawan luar bandar menjana pendapatan tambahan.
“Varieti avokado tempatan dikenali sebagai QAV1 atau dijenamakan semula sebagai Queen Sabah Avocado kini menunjukkan potensi pasaran yang memberangsangkan.
“Avokado ini mempunyai pasaran kukuh dengan harga ladang antara RM12 hingga RM15 sekilogram manakala harga eksport juga menunjukkan peningkatan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada sesi apresiasi makan durian bersama pengamal media yang dihadiri kira-kira 45 wakil media di Kedai Buah Durian King (DKing) di Segama pada Jumaat.
Sehubungan itu beliau berkata kementerian akan memperluas program bantuan penanaman avokado khususnya di kawasan pedalaman seperti Tenom, Keningau, Kota Marudu, Kudat dan Ranau.
Katanya inisiatif itu dijangka menjadi sumber pendapatan tambahan kepada petani selain tanaman sedia ada.
Sementara itu beliau berkata program Jelajah Kebun Dapur akan diteruskan sempena Pesta Kaamatan bermula 1 Mei di Papar.
“Menerusi program ini kami akan mengagihkan benih sayuran secara percuma manakala anak pokok buah-buahan, ternakan dan benih ikan ditawarkan pada diskaun sehingga 50 peratus.
“Ini termasuk anak ayam, ayam penelur, ayam pedaging, puyuh serta benih ikan seperti tilapia, patin dan keli,” katanya.
Beliau berkata inisiatif itu bertujuan menggalakkan orang ramai menanam sayur dan menternak di rumah bagi menambah pendapatan isi rumah.
Selain itu katanya sebanyak 25 pusat pengumpulan hasil pertanian telah diaktifkan di setiap kawasan Parlimen bagi memudahkan pemasaran hasil petani.
Beliau menambah satu aplikasi digital juga akan dilancarkan tidak lama lagi bagi membantu mengenal pasti bekalan pertanian serta memperkemas proses pemasaran.
“Peranan ini akan dilaksanakan oleh Lembaga Pemasaran Pertanian Sabah (Sama) yang berfungsi seperti Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) bagi memastikan hasil petani dapat dipasarkan pada harga berpatutan.
“Sekiranya berlaku lebihan Sama akan membeli hasil tersebut bagi mengelakkan kerugian kepada petani,” katanya.
Mengulas mengenai lambakan durian tempatan atau dikenali sebagai ‘durian kampung’ beliau berkata kementerian merancang meningkatkan nilai durian tempatan melalui teknologi cantuman matang bagi menghasilkan varieti premium.
“Setiap musim kita melihat lambakan durian tempatan ini sehingga harga jatuh serendah RM3 hingga RM5 sekilogram.
“Sebaliknya durian premium seperti Musang King boleh mencecah sehingga RM75 sekilogram dan Black Thorn sekitar RM85 sekilogram,” ujarnya.
Beliau berkata di Ranau sahaja lambakan durian tempatan boleh mencecah sehingga 3,000 tan.
Katanya menurut Jamawi peningkatan durian tempatan kepada varieti premium akan meningkatkan nilai pasaran dan pendapatan pekebun.