Kota Kinabalu: Kecerdasan buatan (AI) akan menjadi pemacu utama dalam transformasi Universiti Malaysia Sabah (UMS) ketika universiti itu memperkukuh tadbir urus yang lebih tangkas serta memodenkan ekosistem pentadbirannya.
Pendaftar UMS Luqman Ridha Anwar berkata inisiatif itu mencerminkan komitmen universiti untuk mengamalkan pendekatan lebih responsif dan berasaskan data selaras dengan perkembangan teknologi global serta landskap pendidikan tinggi yang semakin pesat berubah.
Menurutnya konsep “A New Way of Working” diperkenalkan bagi meningkatkan penyampaian perkhidmatan di universiti dengan mengurangkan birokrasi, mempercepat proses membuat keputusan serta menggalakkan inovasi dan kerjasama dalam kalangan kakitangan.
“Pendekatan tadbir urus tangkas membolehkan organisasi bertindak balas dengan cepat terhadap perubahan global dan teknologi di samping meningkatkan kecekapan pentadbiran serta daya saing institusi,” katanya.
Beliau menyampaikan perkara itu semasa Majlis Aspirasi Pendaftar 2026 yang diadakan secara dalam talian melalui platform Webex dan disertai lebih 1,000 kakitangan pentadbiran UMS.
Dalam ucapannya Luqman turut menekankan kepentingan AI sebagai pemangkin utama transformasi pendidikan tinggi merangkumi pembangunan kurikulum, penyelidikan, tadbir urus serta pembangunan bakat.
Beliau menggesa warga universiti melengkapkan diri dengan kemahiran teknologi khususnya dalam pengumpulan, penyusunan dan analisis data bagi meningkatkan keberkesanan serta kecekapan kerja.
“Semua warga universiti perlu bersedia menguasai kemajuan teknologi supaya tugasan dapat dilaksanakan dengan lebih cekap dan berkesan,” katanya.
Dalam ucapan sama beliau menggesa seluruh UMS supaya mengurangkan kerumitan kerja, mempercepat pelaksanaan dan memberi tumpuan kepada impak bagi merealisasikan aspirasi universiti sebagai “The Brain of Borneo.”
Luqman turut menegaskan kejayaan universiti bukan sahaja digerakkan oleh tenaga akademik tetapi turut disokong kuat oleh kakitangan pentadbiran dan operasi yang menjadi tulang belakang institusi.
Menurutnya di sebalik setiap anugerah dan pengiktirafan yang diterima universiti terdapat ramai individu yang bekerja keras tanpa mengharapkan penghargaan termasuk pembantu am, pemandu, kerani, pembantu makmal, juruteknik dan pegawai pentadbiran.
“Mereka inilah wira sebenar yang memastikan operasi universiti berjalan lancar,” katanya.
Ucapan itu turut mencerminkan komitmen berterusan UMS untuk memperkukuh kedudukannya di peringkat nasional dan antarabangsa melalui penambahbaikan penyampaian perkhidmatan serta kecemerlangan institusi secara menyeluruh.