SANDAKAN: Yang di-Pertua Negeri Tun Musa Aman yang juga Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS) berharap Masjid UMS Sandakan akan menjadi simbol perpaduan, pusat rujukan ilmu serta hab aktiviti komuniti setempat.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan pembukaan masjid bernilai RM5 juta itu yang terletak di Hab Pendidikan, Jalan Sungai Batang, Batu 10, pada Selasa.
Turut hadir ialah Ahli Dewan Undangan Negeri Sungai Manila Hazem Mubarak Tun Musa, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Pendidikan Tinggi Datuk Dr Megat Sany Megat Ahmad Sulian yang mewakili Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Zambry Abd Kadir, Naib Canselor UMS Prof Datuk Dr Kasim Mansor, Mufti Sabah Datuk Seri Bungsu Aziz serta Presiden Majlis Perbandaran Sandakan Walter Kenson.
Terdahulu, Pengerusi Lembaga UMS Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan berkata majlis pecah tanah dan penyerahan tapak projek disempurnakan oleh bekas Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Noraini Ahmad pada 2 Januari 2022.
Beliau berkata projek itu adalah hasil usaha bersungguh-sungguh serta tadbir urus yang baik antara Kementerian Pendidikan Tinggi dan UMS, bagi memastikan hab pendidikan terbabit mempunyai sebuah masjid yang mampu menyatukan serta mengeratkan ukhuwah antara Kerajaan dan penduduk setempat.
Walaupun projek yang bermula pada 2023 itu melalui beberapa fasa pembinaan yang mencabar, semangat kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri membolehkan ia kini berdiri megah dengan kapasiti menampung sehingga 1,000 jemaah pada satu-satu masa.
“Pembinaan ini amat signifikan dan tepat pada masanya memandangkan Pusat Islam Sandakan milik Kerajaan Negeri turut sedang dibina di Kampung Sungai Kayu berhampiran,” katanya.
Masjid itu juga menjadi legasi kepada visi dan usaha Musa untuk mewujudkan Hab Pendidikan Sandakan di Batu 10 ketika beliau memegang jawatan Ketua Menteri sebelum ini.
Sementara itu, beliau berkata UMS turut dilantik sebagai ejen kutipan dan agihan zakat bagi Majlis Ugama Islam Sabah (Muis).