KENINGAU: Seorang lelaki tempatan yang disyaki menyerang seorang anggota polis menggunakan pedang samurai pada Disember tahun lalu, ditangkap Sabtu lepas.
Ketua Polis Daerah Keningau Supt Yampil Anak Garai berkata suspek berusia 40 tahun itu ditahan di sebuah rumah di Kampung Pauh Tulid, Sook pada kira-kira jam 7.40 malam Sabtu lalu.
Beliau berkata ujian air kencing mendapati suspek positif methamphetamine dan amphetamine, selain mempunyai 11 rekod jenayah lampau di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Suspek direman selama lima hari bermula 15 hingga 20 Mac selepas perintah reman diperoleh dari Mahkamah Keningau pada Ahad bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan,” katanya.
Dalam kejadian pada 19 Dis 2025 kira-kira jam 7 malam, seorang doktor di Klinik Kesihatan Sook menerima seorang pesakit yang mengalami kecederaan pada tangan dan perut dipercayai akibat diserang menggunakan pedang samurai.
Mangsa yang merupakan anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) mengalami patah ibu jari kiri serta luka tetakan di bahagian belakang badan dan lengan kanan.
Siasatan awal mendapati suspek mengaku terlibat dalam serangan tersebut.