JIKA di Hollywood ada filem Avengers yang menghimpunkan nama-nama besar dalam satu naskhah, pengarah Razaisyam Rashid nampaknya menggunakan formula sama menerusi filem aksi Tarung: Unforgiven yang bakal ke layar perak pada 7 Mei tahun ini.
Razaisyam yang juga Penerbit Eksekutif berkata filem terbabit berdiri atas kekuatan ‘ensemble cast’ yang membawa tenaga dan lapisan emosi yang saling melengkapi, sekali gus menjadikan konflik di layar terasa lebih besar dan lebih manusiawi.
“Tema utama filem ini sebenarnya sangat peribadi, ‘you vs you’. Pertarungan paling sukar bukan menentang musuh di luar, tetapi menentang kelemahan, ego dan ketakutan dalam diri sendiri.
“Itu yang saya mahu penonton rasa apabila mereka keluar dari pawagam. Dari segi produksi, ini adalah projek paling besar yang pernah kami lakukan.
“Namun pada masa sama, saya membawa pendekatan yang berbeza daripada karya-karya sebelum ini, baik dari gaya visual, koreografi aksi hinggalah cara penceritaan.
“Tarung: Unforgiven adalah evolusi kerja saya sebagai pembikin filem,” kata Razaisyam.
Tarung: Unforgiven menghimpunkan barisan pelakon hebat tanah air seperti Bront Palarae, Zul Ariffin, Aedy Ashraf, Mierul Aiman, Amir Ahnaf, Azira Shafinaz, Sharifah Sakinah, Ubai Amir, Sky Iskandar, Ikmal Amry, Aeril Zafrel dan Theebaan G.
Filem ini juga menyaksikan langkah baharu Aedy Ashraf sebagai Penerbit Eksekutif dan Penerbit bagi naskhah tersebut.
Aedy berkata filem terbabit sangat bermakna buatnya kerana ia menandakan langkah baharu dalam kerjayanya.
“Pada usia 33 tahun, keputusan untuk menerbitkan filem ‘blockbuster’ sendiri memang satu risiko besar, namun saya melihatnya sebagai evolusi dalam perjalanan saya dalam industri.
“Melalui syarikat produksi saya Alpha47 saya kini terlibat secara langsung dalam pembangunan projek, proses produksi dan hala tuju kreatif filem,” katanya.
Aedy berkata dia teruja dapat bekerjasama dengan Razaisyam yang juga antara pengarah terbaik tanah air.
“Bekerjasama dengan Razaisyam memberi pengalaman yang sangat mengujakan kerana kami berkongsi visi untuk menghasilkan karya yang kompetitif dan mampu menarik perhatian penonton arus perdana.
“Bagi saya, Tarung: Unforgiven adalah permulaan kepada aspirasi jangka panjang untuk membina produksi tempatan yang lebih kuat dan berdaya saing.”
Tarung: Unforgiven mengisahkan seorang bekas juara silat yang diburu dosa silam selepas berlakunya satu tragedi. Dia terpaksa bertarung di gelanggang haram demi menyelamatkan kakaknya, tanpa menyedari lawan yang menanti ialah orang terdekatnya suatu ketika dahulu.
Tarung: Unforgiven, terbitan Alpha47 dengan kerjasama Icon Pictures dan Astro Shaw, akan ditayangkan di pawagam seluruh negara pada 7 Mei depan.