LAHAD DATU: Polis menahan dua warga asing dalam dua operasi berasingan berkaitan dadah yang dikenali sebagai Op Tapis di sini, pada Khamis.
Ketua Polis Daerah Asisten Komisioner Polis Dzulbaharin Ismail berkata suspek pertama ditahan di belakang sebuah bangunan pasar raya besar di Jalan Pantai kira-kira jam 11 pagi.
Beliau berkata sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik menahan suspek selepas menemui satu plastik lut sinar mengandungi syabu seberat 0.46 gram dalam milikannya.
Lelaki berusia 25 tahun itu juga didapati positif mengambil dadah.
Kira-kira setengah jam kemudian, pasukann itu menahan seorang lelaki berusia 36 tahun di Kampung Bakau. Hasil pemeriksaan terhadap suspek, polis menemui dua paket plastik lut sinar mengandungi bahan disyaki syabu seberat 5.33 gram bersama kerajang aluminium.
Suspek juga didapati positif dadah.
“Penahanan pertama akan disiasat di bawah Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 manakala kes kedua akan disiasat di bawah Seksyen 39A(1) dan Seksyen 15(1)(a) Akta sama,” kata Dzulbaharin.
Sementara itu, Dzulbaharin menegaskan operasi berkenaan mencerminkan komitmen berterusan Ibu Pejabat Polis Lahad Datu dalam membanteras kegiatan dadah di daerah ini.