Kota Kinabalu: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Api-Api Loi Kok Liang mahu penjelasan diberikan kepada pemain industri pelancongan dan orang ramai berhubung operasi jeti awam baharu yang diuruskan oleh Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK).
Beliau berkata fungsi sebenar dan hala tuju jeti tersebut masih tidak jelas sekali gus menimbulkan kekeliruan dalam kalangan pihak berkepentingan dan orang awam.
“Saya mengemukakan persoalan ini bukan untuk menyalahkan mana-mana pihak tetapi bagi mendapatkan penjelasan daripada pihak berkuasa berkaitan supaya orang ramai dapat memahami rasional dan tujuan di sebalik pengaturan ini,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Loi menjelaskan bahawa aktiviti pelancongan ke pulau selama ini berpusat di Terminal Feri Jesselton Point yang diuruskan oleh Suria Capital Holdings Berhad dan diiktiraf sebagai jeti pelancongan khusus.
Menurutnya terminal itu telah lama beroperasi dengan pemantauan peraturan yang baik termasuk kehadiran penguat kuasa, kemudahan perubatan asas serta pematuhan kepada standard keselamatan menjadikannya platform tersusun untuk pelancongan ke pulau.
Namun katanya timbul kebimbangan terhadap laporan terkini mengenai aktiviti “menarik pelanggan” di kawasan sekitar di mana pelancong didekati, dipujuk dan dialihkan ke jeti DBKK untuk berlepas ke pulau.
Menurutnya perkara itu menimbulkan persoalan besar berkaitan keselamatan, imej sektor pelancongan Kota Kinabalu serta sama ada amalan tersebut dikawal selia dengan sewajarnya.
Loi turut menyuarakan kebimbangan bahawa jeti yang asalnya untuk kegunaan awam kini dilihat beroperasi seperti kemudahan berorientasikan pelancongan.
“Ketika lawatan ke jeti itu saya mendapati kebanyakan kaunter tiket digunakan oleh agensi pelancongan untuk menjual pakej lawatan tanpa kaunter yang jelas menyediakan perkhidmatan feri untuk orang awam,” katanya.
Beliau menambah bahawa bot yang berlabuh di jeti tersebut kebanyakannya memenuhi keperluan pelancong dengan kehadiran bot untuk penumpang biasa adalah sangat terhad.
Berdasarkan maklumat di lokasi katanya terdapat kemungkinan sehingga 10 kaunter tambahan akan diperuntukkan kepada pengendali pelancongan dan beliau menggesa pihak berkuasa memberi penjelasan rasmi bagi mengelakkan spekulasi.
Dari sudut dasar awam Loi menegaskan bahawa infrastruktur yang dibangunkan oleh pihak berkuasa tempatan khususnya jeti awam seharusnya mengutamakan keperluan orang ramai terutama penduduk pulau seperti Pulau Gaya dan komuniti sekitarnya.
Katanya adalah wajar orang ramai mempersoalkan sama ada hala tuju operasi jeti itu semakin beralih kepada aktiviti pelancongan dan berpotensi melibatkan unsur pengkomersialan.
Jika benar katanya kedudukan dasar, sempadan serta peranan pihak berkuasa tempatan dalam pengaturan tersebut perlu diperjelaskan.
Beliau berkata situasi itu turut menimbulkan persoalan lebih luas sama ada fungsi jeti awam tersebut telah berubah dan jika ia berkembang menjadi kemudahan berorientasikan pelancongan, apakah peranan masa depan Terminal Feri Jesselton Point.
Loi juga mempersoalkan sama ada pengaturan sedemikian boleh menimbulkan kekeliruan dalam kalangan pelancong dan orang awam.
Menurutnya sebagai ibu negeri perancangan bandar dan pengurusan infrastruktur awam di Kota Kinabalu mesti jelas, terselaras dan seiring antara semua pihak berkuasa berkaitan.
Sehubungan itu beliau menggesa agensi berkaitan menjelaskan mengapa DBKK dilihat terlibat dalam pengaturan menyerupai operasi pelancongan, sama ada Kementerian Pelancongan dimaklumkan dan selaras dengan pengaturan ini serta sama ada pihak berkuasa pengangkutan atau pengawal selia sedar bahawa jeti awam tersebut kelihatan mengutamakan penggunaan pelancongan berbanding akses orang awam.
“Saya percaya setiap dasar atau inisiatif mempunyai rasional tersendiri. Namun apabila melibatkan sumber awam, peranan pasaran dan imej bandar, kejelasan serta ketelusan amat penting,” katanya.
Beliau menggesa pihak berkuasa memberikan penjelasan menyeluruh agar orang ramai, pemain industri dan semua pihak berkepentingan dapat memahami hala tuju sebenar.
“Hanya dengan kejelasan kita dapat memastikan Kota Kinabalu terus berkembang sebagai bandar yang tersusun, selamat dan profesional,” katanya.