Kota Kinabalu: Sabah Oil & Gas Development Corporation (SOGDC) dan Sedco Mining Sdn Bhd menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bagi memperkukuh kerjasama strategik dalam pembangunan industri di negeri ini, khususnya di Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sipitang (Sogip) dan Taman Perindustrian Sawit Kinabalu Sandakan (SKSIP).
Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Datuk Ewon Benedick berkata ia menandakan langkah penting bagi meningkatkan kerjasama antara kedua-dua entiti di bawah kementerian.
“Pembangunan ekonomi Sabah memerlukan pendekatan yang bersepadu di mana agensi pembangunan negeri bekerjasama untuk mengoptimumkan sumber dan peluang pelaburan.
“Kerjasama strategik seperti ini bukan sahaja mengukuhkan koordinasi antara institusi pembangunan negeri malah mewujudkan platform yang lebih kukuh untuk merangsang pertumbuhan industri dan meningkatkan daya saing ekonomi Sabah di peringkat serantau,” katanya.
Beliau menekankan bahawa kolaborasi ini penting kerana ia mewujudkan sinergi institusi, penyelarasan dasar dan membolehkan pelaksanaan projek yang lebih strategik serta bersepadu.
“Apabila agensi pembangunan negeri beroperasi dalam ekosistem yang sama dan berkongsi matlamat pembangunan yang selaras, perancangan dan pelaksanaan projek boleh dijalankan dengan lebih cekap, pantas dan berkesan.
“Ini membolehkan Kerajaan Negeri mengoptimumkan penggunaan sumber, mempercepat pembangunan infrastruktur strategik dan meningkatkan keyakinan pelabur terhadap ekosistem pelaburan di Sabah,” katanya.
Ewon berkata pemulihan tanah boleh mengembangkan kawasan pembangunan industri di Sogip sekali gus menyokong kemasukan pelaburan industri berskala lebih besar pada masa hadapan.
“Pada masa sama potensi untuk memperdalam akses perkapalan ke SKSIP membuka dimensi baharu bagi pembangunan industri di Sabah. Peningkatan kapasiti perkapalan membolehkan pelabuhan menampung kapal lebih besar, meningkatkan kecekapan rantaian bekalan dan mengukuhkan kedudukan Sabah sebagai hab industri dan perdagangan serantau,” tambahnya.
Menurut beliau, inisiatif ini bukan sahaja akan mengukuhkan Sogip sebagai hab industri tetapi juga memberi manfaat ekonomi kepada kawasan industri lain, termasuk SKSIP dan kawasan sekitarnya, sambil mewujudkan peluang perniagaan baharu dan pekerjaan berkualiti tinggi untuk rakyat Sabah.
Ewon berkata Sabah kaya dengan sumber semula jadi yang pelbagai, namun potensi sepenuhnya hanya dapat direalisasikan melalui perancangan strategik, pelaburan berkualiti serta tadbir urus yang cekap dan telus.
“Pendekatan Kerajaan Negeri jelas: kami tidak sekadar mahu mengeksploitasi sumber sedia ada, tetapi memastikan pembangunan sumber itu mewujudkan rantaian nilai industri yang lengkap bukan sahaja meningkatkan nilai ekonomi sumber tersebut tetapi juga membangunkan industri sokongan, peluang perniagaan baharu dan pekerjaan untuk rakyat Sabah,” katanya.
Beliau turut menyampaikan penghargaan kepada Sedco Mining terutamanya pasukan pelaksana atas peranan utama mereka dalam merealisasikan kerjasama strategik ini.
“Komitmen yang ditunjukkan oleh semua pihak hari ini membuktikan bahawa Sabah mempunyai kapasiti untuk membangunkan industri berasaskan sumber secara kompetitif, progresif, dan lestari, seterusnya mengukuhkan kedudukan Negeri ini sebagai destinasi pelaburan yang kompetitif di rantau ini,” katanya.
Turut hadir ialah Pengerusi Sedco Mining Chua Ming Ling @ Alan, Pengerusi SOGDC Datuk Ir Shahelmey Yahya, Pengerusi Sawit Kinabalu Sdn Bhd Hazem Mubarak Tun Musa dan Ketua Pegawai Eksekutif Sawit Kinabalu Datuk Victor Ationg.