DEWAN Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) mengutip sejumlah RM5,240 kompaun daripada individu yang didapati membuang sampah merata-rata di pusat komersial dan pekan dalam kawasan pentadbirannya sepanjang dua bulan lalu menerusi pelaksanaan Ops Bersih.
Jurucakap Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal (SWMD) DBKK berkata sebanyak RM5,000 dikutip pada Januari manakala RM240 pada Februari.
Advertisement

Menurutnya pesalah dikesan membuang sampah termasuk puntung rokok secara sembarangan di kawasan awam.
“Seramai 256 individu ditahan antara Januari hingga Februari. Daripada jumlah itu 246 orang menjelaskan kompaun serta-merta manakala 10 orang lagi berbuat demikian dalam tempoh yang ditetapkan,” katanya.

Beliau berkata kompaun sehingga RM500 boleh dikenakan terhadap mereka yang melanggar Undang-Undang Kecil Anti Sampah-Sarap 1984 (Pindaan 2005) DBKK.
“Pesalah yang berulang kali ingkar terhadap arahan supaya tidak membuang sampah boleh dikenakan tindakan mahkamah dan jika sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM10,000,” ujarnya.
Sepanjang tempoh 1 Januari hingga 12 Februari, antara empat hingga lima pegawai penguat kuasa SWMD menjalankan 110 pemeriksaan berasingan di sekitar pusat bandar serta kawasan dari Manggatal hingga Lido.
Antara lokasi di pusat bandar yang dipantau termasuk deretan kedai di Asia City, Kampung (Kg) Air, Sinsuran, Bandaran Berjaya dan Segama selain sepanjang Jalan Gaya. Kawasan sekitar KK Plaza, Centre Point Sabah, Api-Api Centre, Pasar Besar Kota Kinabalu serta Jeti DBKK turut berada di bawah pemantauan.
“Pada Januari jumlah pesalah tertinggi dikesan di Centre Point iaitu seramai 38 orang diikuti Bandaran Berjaya (24) dan Asia City (16). Pada Februari pula seorang ditahan di Jalan Gaya dan dua lagi di Kg Air,” tambahnya.
Bagi kawasan di luar had bandar, pasukan SWMD turut membuat pemeriksaan di Damai Plaza, Plaza Juta, Pusat Komersial Alam Mesra, Kingfisher Plaza, Kingfisher Riverside, Kompleks Pentadbiran Mini Putrajaya, EG Mall, Taipan, Manggatal Plaza, Pusat Komersial Salut serta deretan kedai di Universiti Apartments, Taman Kuala Manggatal, Taman Fajar dan Taman Nelly.
Pemeriksaan juga dijalankan di pekan Lido, Inanam dan Manggatal.
“Kompleks Pentadbiran Putrajaya mencatat jumlah pesalah tertinggi pada Januari iaitu 10 orang diikuti Manggatal Plaza (lapan) dan Damai Plaza (tiga). Pada Februari dua individu diambil tindakan di Taman Kuala Manggatal dan seorang di Kingfisher Plaza,” tegasnya.
Sebagai perbandingan sebanyak RM7,960 kompaun dikutip bagi tempoh Januari dan Februari 2025 dengan RM5,100 pada Januari dan RM2,860 pada Februari tahun lalu.
Mengulas perbezaan ketara jumlah kutipan Februari tahun ini berbanding tempoh sama tahun lalu, beliau berkata hanya empat pemeriksaan Ops Bersih dijalankan bulan lalu.
“Kebanyakan kakitangan SWMD memberi tumpuan untuk memberi penerangan kepada pengusaha kedai di Taipan, Inanam mengenai pelaksanaan SPSS (Sistem Pelupusan Sampah Sendiri),” katanya.

Menurutnya pelaksanaan SPSS tidak lagi memerlukan pusat pengumpulan tong sampah.
“Di bawah sistem ini lori kompaktor akan berhenti di lokasi ditetapkan sekali pada waktu pagi dan sekali lagi pada waktu malam. Peniaga di sekitar kawasan itu perlu membawa sendiri sampah dari premis masing-masing untuk dimasukkan ke dalam lori berkenaan,” katanya.
Beliau berkata kakitangan jabatan ditempatkan secara syif sepanjang Februari bagi memastikan sistem tersebut berjalan lancar.