KUNAK: Syarikat konsesi pengurusan sisa pepejal menjalankan kerja pembersihan dan pemunggahan sampah di beberapa kawasan dan lokasi sekitar pekan Kunak.
Ini susulan aduan awam yang tular di media sosial sejak Selasa berhubung longgokan sisa yang terbiar beberapa hari lepas sehingga menyebabkan persekitaran terjejas.
Pembantu Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif yang juga Adun Kunak Dato Sri Anil Sandhu berkata beliau berhubung dengan Majlis Daerah, syarikat konsesi serta pekerja syarikat untuk mengambil langkah segera membersih dan memastikan sisa pepejal diangkut ke pusat pelupusan dengan segera.
“Saya arahkan pekerja konsesi untuk memastikan persekitaran yang dicemari bau dan sampah yang belum dikutip supaya diambil tindakan segera. Saya difahamkan kawasan-kawasan itu sudah dibersihkan pada Selasa dan mereka telah menghantar gambar-gambar dan rakaman video berhubung kerja-kerja pembersihan,” katanya.
Beliau juga berharap masyarakat memainkan tanggungjawab bersama untuk memastikan kawasan persekitaran khususnya Pekan Kunak dan kediaman berada dalam keadaan yang bersih dengan membuang sisa ke dalam tong sampah yang tersedia.
Sebelum ini, tular di Facebook longgokan sampah di belakang bangunan pasaraya Bataras dan Sedcovest yang tidak dikutip sehingga menjejaskan kawasan sekitar.
“Tanggungjawab menjaga kebersihan bukan terletak di bahu Majlis Daerah dan syarikat konsesi sahaja tetapi orang ramai juga ada peranan masing-masing dalam memastikan persekitaran kita bersih dan selesa,” kata Anil.
Ketika ini, penyediaan tong roro (roll-on roll-off) ditempatkan di Bangunan Boheyan Plaza, Kunak Plaza, Sapang, PPR Sri Pangkalan, Pasar Am Jalan Jaya Baru, Jeti Pasar Ikan dan beberapa lokasi lain bagi menampung jumlah sisa pepejal yang bertambah ketika musim perayaan.
Sementara itu, Pegawai Eksekutif Majlis Daerah Kunak Mohd Nazri Pintal berkata kerja pembersihan longgokan sampah yang belum dipunggah telah dilaksanakan di belakang bangunan Sedcovest, Pasaraya Bataras di Maganting Plaza, Kunak Plaza, dan bangunan perniagaan Sedco di Pekan Kunak.
Difahamkan kelewatan pemunggahan sampah itu disebabkan kerosakan lori pemampat.