Kota Kinabalu: Sebuah syarikat dan pengarahnya didenda keseluruhan RM6,000 oleh Mahkamah Sesyen kerana menjual alat pengukur oksigen darah (oximeter) tanpa sijil Sirim seperti yang dikehendaki di bawah Peraturan-Peraturan Komunikasi dan Multimedia (Standard Teknik) 2000.
Hakim Mahkamah Sesyen Amir Shah Amir Hassan menjatuhkan hukuman itu terhadap Kreino Sdn Bhd dan pengarahnya Tan Hee Lian, 49, selepas kedua-dua tertuduh mengaku bersalah atas pertuduhan yang dikenakan.
Syarikat itu didenda RM5,000 kerana menjual oximeter yang tidak diperakui di premisnya di Jalan Damai pada 14 Jun 2023.
Sementara itu Tan didenda RM1,000 atau penjara sebulan jika gagal membayar denda kerana menjual barangan yang sama di tempat dan masa yang sama.
Kesalahan di bawah Peraturan 16(1)(b) Peraturan-Peraturan Komunikasi dan Multimedia (Standard Teknik) 2000 yang dibaca bersama Seksyen 244(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 itu boleh dihukum di bawah Peraturan 16(3) peraturan sama.
Undang-undang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM300,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Semasa rayuan hukuman Tan yang turut mewakili syarikat memohon denda yang lebih rendah dengan alasan hanya mampu membayar RM5,000 kerana mempunyai anak-anak kecil untuk ditanggung.
Tan mendakwa dirinya tidak mengetahui bahawa oxsimeter tersebut memerlukan sijil Sirim untuk dijual kerana ia dibeli dari China.
Tan juga memaklumkan bahawa kini tidak lagi menjual peranti tersebut.
Bagaimanapun pegawai pendakwa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia Mohamad Azmir Mohd Razali memohon mahkamah menjatuhkan hukuman yang sewajarnya terhadap Tan dan syarikat itu kerana penjualan produk tanpa pensijilan boleh membahayakan pengguna.
Mohamad Azmir turut memohon mahkamah mengambil kira pindaan undang-undang yang berkuatkuasa pada Julai 2022 sebelum menjatuhkan hukuman.