Kota Kinabalu: Satu syarikat dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan memasang lif penumpang tanpa memiliki sijil sah yang dikeluarkan oleh pegawai Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH) atau pihak yang diberi kuasa.
Kinabalu International Hotel Sdn Bhd melalui wakilnya mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Amir Shah Amir Hassan pada Rabu.
Syarikat itu dituduh membenarkan operasi mesin iaitu lif penumpang tanpa sijil sah pada pukul 11.30 pagi, 7 Oktober 2025 di Hyatt Regency Kinabalu, Jalan Datuk Salleh Sulong.
Kesalahan ini mengikut Seksyen 27D(1) Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 27D(5) dengan denda sehingga RM100,000, penjara sehingga setahun atau kedua-duanya sekali jika disabit kesalahan.
Mahkamah menetapkan 28 April ini untuk sebutan semula dan membenarkan syarikat tersebut diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin tempatan tanpa deposit.
Pegawai pendakwa Christy Claire De Guzman mewakili pihak pendakwaan, manakala peguam Vanessa Maria Marimuttu dan Adele Chin mewakili syarikat.
Dalam kes lain tiga pendatang haram dijatuhi hukuman penjara empat bulan setiap seorang kerana memasuki negeri ini tanpa dokumen sah.
Ketiga-tiga individu mengaku bersalah secara berasingan dan ditangkap oleh pasukan Imigresen dalam operasi baru-baru ini selepas gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri.
Selepas tamat tempoh penjara mereka yang diminta bermula dari tarikh tangkapan diarahkan dirujuk kepada Jabatan Imigresen untuk tindakan selanjutnya.