SEMPORNA: Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Empat Sabah menahan dua individu dan merampas barangan bernilai lebih RM180,000 susulan operasi di Semporna, Tawau dan Lahad Datu pada Isnin.
Menurut kenyataan PPM Sabah, hasil serbuan di sebuah rumah tanpa nombor di Kampung Halo, polis marin menemui 52 jerigen 25-liter mengandungi petrol.
Pemeriksaan lanjut ke atas sebuah bot laju juga menemui lapan jerigen 30 liter yang turut mengandungi petrol.
Seorang warga asing ditahan kerana gagal mengemukakan dokumen sah untuk memiliki barangan tersebut. Semua barangan, dianggarkan bernilai RM75,761.80, dipercayai untuk disalahgunakan atau diseludup ke negara jiran.
Di Tawau, pasukan operasi marin menjejaki sebuah kenderaan Toyota Hilux Single Cab (4WD) yang disyaki terlibat dalam aktiviti mencurigakan di stesen minyak.
Hasil pemeriksaan kenderaan itu mendapati terdapat tujuh jerigen petrol, dianggarkan sejumlah 157 liter dalam baldi di dalam kenderaan.
Pemeriksaan terhadap pemandu mendapati pemandu gagal mengemukakan dokumen kelulusan atau permit yang dikeluarkan pihak berkuasa berkaitan.
Pemandu tempatan itu ditahan bagi membantu siasatan manakala barangan yang dirampas dianggarkan bernilai RM88,560.
Sementara itu, polis marin turut merampas beberapa plastik yang mengandungi rokok tidak bercukai bernilai RM18,420, dipercayai diseludup masuk dari negara jiran.
Rampasan itu dibuat semasa tugasan pemantauan di kawasan pasar ikan Lahad Datu apabila pasukan melihat dua individu sedang memunggah plastik tersebut.
Namun, kedua-dua individu melarikan diri setelah menyedari kehadiran anggota penguatkuasa.
Semua kes disiasat di bawah Akta Kastam 1967 dan Akta Kawalan Bekalan 1961.