KENINGAU: Kira-kira tiga ekar kawasan belukar hangus dalam kebakaran di Kampung Belakang Kilang Java, di sini, Rabu lepas.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Keningau, Severinus @ Mohd Nidzam Sinkui berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 1.56 petang sebelum beberapa anggota bersama jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan Perkhidmatan Penyelamatan Perawatan Kecemasan (EMRS) digegaskan ke lokasi kejadian.
Advertisement
_E.jpg)
“Pasukan bomba mengawal dan memadamkan kebakaran menggunakan satu aliran dengan satu pancutan sejauh 100 kaki serta peralatan pemerap api,” katanya.
Menurutnya, kebakaran dipadam sepenuhnya pada jam 3.14 petang.
Dalam pada itu, beliau mengingatkan orang ramai supaya tidak melakukan pembakaran terbuka berikutan keadaan cuaca panas dan kering ketika ini yang mudah mencetuskan kebakaran.
Katanya, pembakaran terbuka bukan sahaja merosakkan ekosistem alam sekitar, malah asap yang terhasil boleh menjejaskan kesihatan masyarakat.
Advertisement

Beliau turut menegaskan bahawa kebakaran yang tercetus boleh merebak dengan cepat tanpa mengira sempadan kawasan dan berpotensi mengancam harta benda serta keselamatan penduduk.
Sehubungan itu, Serevinus menggesa orang ramai menghentikan sebarang aktiviti pembakaran terbuka buat masa ini serta mematuhi saranan dan kempen kesedaran yang sentiasa ditekankan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan pihak berkuasa.