LAHAD DATU: Seorang anggota Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) berusia 41 tahun maut selepas motosikal yang ditunggangnya bertembung dengan sebuah Proton Preve di KM57 Jalan Lahad Datu-Tungku pada Isnin.
Motosikal itu dalam perjalanan menuju ke Lahad Datu dari Tungku, manakala Proton Preve tersebut bergerak dari arah bertentangan ketika kejadian kira-kira jam 8.10 pagi.
Ketua Polis Daerah ACP Dzulbaharin Ismail berkata Proton Preve itu sedang memasuki simpang ke Kampung Sibural di bahagian kanan jalan sebelum motosikal terbabit melanggarnya selepas kenderaan itu secara tiba-tiba memasuki laluannya.
Akibat perlanggaran itu, penunggang motosikal mengalami kecederaan parah. Mangsa dihantar oleh orang awam ke Klinik Kesihatan Tungku namun disahkan meninggal dunia pada jam 9.15 pagi ketika menerima rawatan.
Dzulbaharin berkata kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan orang ramai yang menyaksikan kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik Insp. Jafri Junat di 089-881255 atau hadir ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.
Beliau turut mengingatkan pengguna jalan raya supaya sentiasa berhati-hati bagi mengelakkan kemalangan.