TAWAU: Kerajaan Persekutuan, melalui Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), diminta memberi perhatian serius terhadap cadangan pembinaan Balai Bomba dan Penyelamat baharu di kawasan Apas-Balung.
Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, perkara itu pernah dirancang dalam Rancangan Malaysia (RMK) sebelum ini, namun, pelaksanaannya masih belum direalisasikan.
Katanya, cadangan itu kini dilihat wajar diberikan keutamaan, sejajar perkembangan pesat kawasan tersebut dengan pertambahan perumahan, premis perniagaan serta pejabat kerajaan dan swasta, sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Menurutnya, pembinaan balai bomba baharu itu diyakini mampu memastikan respon kecemasan yang lebih pantas, khususnya kes kebakaran, kemalangan jalan raya dan bencana lain.
“Ini kerana jarak balai bomba sedia ada di pusat bandar Tawau agak jauh dan mengambil masa untuk tiba ke lokasi kecemasan di Apas Balung serta sekitarnya.
“Aspek keselamatan perlu seiring dengan pembangunan pesat di sesebuah kawasan dengan penyediaan infrastruktur keselamatan demi melindungi nyawa dan harta benda, sekali gus menjamin kesejahteraan masyarakat,” katanya.
Nizam, yang juga Adun Apas, berkata demikian selepas melawat 12 peniaga yang menjadi mangsa kebakaran yang memusnahkan 18 gerai tepi jalan di Batu 15, Jalan Apas di sini, pada Isnin.
Beliau menyampaikan sumbangan wang tunai dan bakul makanan sempena bulan Ramadan bagi sebagai sokongan moral kepada mereka yang terjejas dalam kejadian pada 11 Februari lalu, ketika beliau dalam perjalanan ke Tanah Suci untuk menunaikan ibadah umrah.
“Sejurus menerima berita insiden tersebut, saya mengarahkan pegawai dari Unit Pembangunan Masyarakat (PPM) Apas untuk turun ke lokasi bagi menyalurkan bantuan segera bersama Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Tawau.
“Hari ini saya sendiri hadir untuk menyampaikan sedikit sumbangan berupa wang tunai serta barangan keperluan sempena Ramadan kepada mangsa terlibat. Diharapkan bantuan ini dapat meringankan beban mereka,” katanya.
Dalam pada itu, Nizam menyatakan perbincangan sudah diadakan bersama Jabatan Tanah dan Ukur (JTU) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) bagi meneliti kedudukan gerai yang berhampiran garisan jalan.
“Kita mahu mencari jalan penyelesaian lebih baik bagi memastikan isu berkaitan struktur dan keselamatan dapat ditangani supaya insiden serupa tidak berulang lagi,” katanya.
Beliau turut menasihatkan penduduk dan peniaga, khususnya yang tinggal di kawasan berisiko, agar memastikan struktur yang dibina mendapat kelulusan pihak berkuasa tempatan (PBT).
Beliau menambah, pendawaian elektrik dan penggunaan gas serta alat memasak hendaklah sentiasa mengutamakan aspek keselamatan, sama ada di rumah ataupun premis perniagaan.