PAPAR: Kerajaan Sabah sedang meneliti langkah kontingensi bagi mengurangkan kesan ketidaktentuan ekonomi global, susulan krisis bekalan tenaga dan peningkatan kos pengangkutan serta bahan binaan akibat perang Iran ketika ini.
Ini termasuk menyemak semula kos projek dan kontrak bagi menangani kenaikan harga yang boleh menjejaskan penyiapan projek, selain mempertimbangkan pelaksanaan dasar Bekerja Dari Rumah (BDR) yang kini hanya terpakai kepada kakitangan Persekutuan (lihat laporan berasingan).
Menteri Kewangan Negeri, Datuk Seri Masidi Manjun berkata Kabinet Negeri yang bermesyuarat Rabu lalu membincangkan langkah untuk meminimumkan perbelanjaan tanpa menjejaskan pelaksanaan projek yang sedang berjalan.
Beliau berkata peningkatan kos, khususnya bahan binaan seperti bitumen yang berasaskan petroleum, memberi tekanan kepada kontraktor yang mungkin sukar menyiapkan projek pada harga yang dipersetujui sebelum ini.
“Projek dan kontrak yang dianugerahkan lebih awal (sebelum perang) mungkin tidak lagi mencukupi untuk disiapkan berikutan kenaikan kos.
“Jika kita berkeras dengan harga asal, terdapat risiko beberapa projek mungkin terpaksa ditinggalkan,” katanya selepas merasmikan Restoran Famous Salim Nasi Kandar di Parklane City di sini, Jumaat.
Masidi berkata kerajaan sedang mempertimbangkan untuk menyemak semula nilai kontrak jika perlu, walaupun langkah itu berkemungkinan menyebabkan peningkatan perbelanjaan.
“Apabila kita menyemak atau mengkaji semula harga, ia bermakna kerajaan perlu membelanjakan lebih banyak. Jika hasil kita tidak mencukupi untuk menampung peningkatan itu, kita mungkin perlu menggunakan rizab negeri.
“Kita perlu menilai sama ada kontraktor mampu menyiapkan projek secara realistik dengan harga semasa,” katanya.
Menurutnya, keutamaan kerajaan adalah memastikan projek, termasuk Lebuhraya Pan Borneo, dapat disiapkan walaupun memerlukan campur tangan kerajaan.
Beliau berkata kementeriannya sedang menyenaraikan projek yang terjejas sebelum membentangkan dapatan tersebut kepada Kabinet Negeri.
Walaupun sesetengah projek mungkin memerlukan campur tangan kerajaan, Masidi berkata keadaan di Sabah masih terkawal.
“Keadaannya tidak seteruk di negara lain. Ia masih dalam kawalan. Saya rasa kita bernasib baik kerana saya ada membaca bahawa China dan Malaysia adalah dua negara yang diurus dengan baik dari segi meletakkan asas kestabilan ekonomi.
“Jadi, dalam kalangan negara Asia, China dan Malaysia mungkin dua negara yang mempunyai asas ekonomi dan kewangan yang kukuh, dan kita sepatutnya mampu menanggung kesan ini selagi perang ini tidak berlarutan,” katanya.
Beliau turut memberi jaminan bahawa inisiatif perumahan Rumah SMJ oleh kerajaan negeri akan disiapkan.
“Apa jua keadaan, kita akan pastikan ia disiapkan,” katanya.
Turut hadir ialah Pembantu Menteri Pembangunan Luar Bandar merangkap Adun Limbahau, Datuk Juil Nuatim; Adun Pantai Manis, Datuk Pg Saifuddin Pg Tahir; Pemaju Parklane City yang juga Pengarah Urusan WSG Group, Datuk Susan Wong Siew Guen; serta pengarah Restoran Salam Nasi Kandar (M) Sdn Bhd iaitu Salim Khan Kabor, Abdul Gafoor Hasanudeen dan Jeyaraman A/L Subramaniam.