Kota Kinabalu: Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman menerima kunjungan hormat Panglima Kelima (5 Briged) Infantri Malaysia ke-37, Brigedier Jeneral Abdul Razak Haron di Istana Seri Kinabalu, pada Khamis.
Abdul Razak menjelaskan kunjungan itu bertujuan memperkenalkan diri sebagai Panglima Briged kelima Infantri Malaysia ke-37 berkuatkuasa pada 3 April 2026, di Kem Paradise, Kota Belud.
“Saya dan seluruh kepimpinan Tentera Darat di 5 Briged akan memberi perkhidmatan yang terbaik kepada kerajaan negeri dan memastikan kerjasama serta hubungan baik yang terjalin sejak sekian lama terus diperkukuh pada masa akan datang,” katanya.
Beliau juga menzahirkan kesediaan dan taat setia untuk berbakti kepada rakyat dan negeri Sabah, menggambarkan penugasannya di negeri ini buat kali kedua sebagai suatu rahmat.
Abdul Razak akan menggantikan Brigedier Jeneral Datuk Mohd Zamri Abdullah yang akan bertugas sebagai Ketua Pengarah Cawangan Operasi Pertahanan di Bahagian Operasi Latihan Pertahanan, Markas Angkatan Tentera Malaysia.
Kunjungan itu juga menjadi medium bertukar pandangan dan membincangkan mengenai isu keselamatan negeri serta perancangan baharu berkaitan penyediaan aspek keselamatan oleh pihak tentera di Sabah.
Hadir sama, Pegawai Staf 2 Tadbir/Logistik Markas 5 Briged, Mejar Syamsul Anwar Ahmad; Pegawai Staf 3 Logistik Markas 5 Briged, Kapten Fakrur Radzi Zulkifli; Atur Turus Markas 5 Briged, Kapten Muhammad Hazimin Helmi dan Pegawai Staf 3 Gerak Markas 5 Briged, Kapten Datu Mohd Hazlin Datu Ali Nafiah.