PROGRAM realiti drama masakan yang pertama di Malaysia, Dapur Goodday kembali dengan musim kedua.
Menemui penonton bermula 18 Februari program berkenaan disiarkan setiap hari jam 5.30 petang di saluran Astro Ria serta boleh distrim melalui platform Astro GO serta di portal Astro Gempak.
Advertisement

Meneruskan konsep unik ‘tengok hari ini, esok boleh beli’ penonton bukan sahaja menonton hidangan di skrin televisyen malah boleh merasai sendiri menu yang sama di dunia sebenar.
Setiap hidangan yang dipaparkan dalam episod harian akan dijual kepada orang ramai di Bazar Ramadan Presint 3, Putrajaya pada keesokan harinya sekali gus memberi peluang kepada penonton untuk menikmati sendiri sajian yang ditonton.
Lebih unik menu di bazar akan berubah setiap hari mengikut hidangan istimewa yang diadun dengan susu Goodday yang disiarkan dalam program menjadikan pengalaman Ramadan lebih interaktif dan segar buat pengunjung.
Inisiatif ini memperkukuhkan konsep dari skrin ke pinggan di mana tontonan di televisyen diterjemahkan kepada pengalaman sebenar di bazar Ramadan sekali gus menghubungkan dunia hiburan dan kulinari dalam satu pengalaman yang unik sepanjang bulan Ramadan.
Konsep ini dicetuskan oleh Santharuban Thurai Sundaram selaku Penerbit Eksekutif Dapur Goodday : Misi Inspektor Sani manakala idea program diolah dan ditulis oleh Sham Hashim dari Astro Gempak.
Menurut Naib Presiden Perniagaan Melayu Nusantara, Astro, Raja Jastina Raja Arshad berkata selepas kejayaan musim pertama tahun lalu pihaknya amat teruja untuk kembali dengan musim kedua Dapur Goodday yang tampil dengan skala dan pendekatan lebih dinamik.
“Menerusi kerjasama berterusan bersama Goodday kami membawa kelainan dengan mengetengahkan watak ikonik Inspektor Sani daripada filem pecah panggung Polis Evo sebagai teraju penceritaan sekali gus menyuntik elemen drama, komedi dan kulinari dalam satu format hiburan yang lebih segar dan menghiburkan.
“Tahun ini juga menyaksikan kami memperluaskan pengalaman program ke Bazar Ramadan Presint 3, Putrajaya, bagi merealisasikan konsep ‘tengok hari ini, esok boleh beli’ secara lebih menyeluruh dan imersif di mana kandungan di skrin diterjemahkan kepada pengalaman sebenar yang boleh dinikmati orang ramai.
“Kami turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Goodday atas sokongan dan kerjasama berterusan yang menjadi pemangkin utama dalam menjayakan inisiatif unik ini,” katanya.
Selepas kejayaan musim pertama Dapur Goodday: Misi Sarimah &: Tuyah vs Che Ton tahun lalu, musim kedua kali ini menampilkan kemunculan watak ikonik Inspektor Sani daripada filem pecah panggung Polis Evo yang dijayakan oleh Zizan Razak sebagai watak utama.
Penonton akan mengikuti kisah Inspektor Sani yang menjalankan operasi penyamaran sebagai peniaga makanan di Kampung Hari Baik bagi menjejaki Capik, seorang dalang dadah yang licik serta pakar dalam penyamaran.
Dibantu oleh pegawai Gen Z yang bijak dan bersahaja Ain, Inspektor Sani menggunakan hidangan viral ciptaannya ayam golek tertumpah susu yang lazat sebagai ‘senjata’ untuk mendekati penduduk kampung, mencuri hati mereka dan meraih kepercayaan komuniti setempat.
Di sebalik gelak tawa, setiap resipi dan interaksi menjadi sebahagian daripada strategi halus Sani untuk mengesan jejak dan membongkar lokasi persembunyian Capik.
Keunikan Dapur Goodday: Misi Inspektor Sani turut terserlah apabila setiap resepi menggunakan susu Goodday sebagai sebahagian daripada ramuan utama sekali gus menghasilkan hidangan yang kaya rasa dan sesuai dinikmati Ramadan ini.
Musim ini hidangan ayam golek tertumpah susu menjadi nadi utama penceritaan dan ia adalah sebuah resepi ciptaan baharu yang diinspirasikan daripada cita rasa tempatan dan diperkaya dengan sentuhan susu Goodday sekali gus menghasilkan sajian yang lebih lazat, berkrim dan memikat selera sebagai menu signature yang eksklusif.
Sebagai tawaran pengenalan sempena Ramadan, ayam golek tertumpah susu turut diperkenalkan dengan harga promosi istimewa serendah RM0.99 untuk seekor ayam untuk dua hari terawal Ramadan.
Selepas tempoh promosi tersebut hidangan berkenaan masih boleh dinikmati pada harga berpatutan, memberi peluang kepada semua pengunjung daripada pelbagai lapisan untuk merasai sendiri keenakan menu istimewa ini.
Sementara itu Festival Ramadan Putrajaya 2026 dilancarkan secara rasmi dan Bazar Dapur Goodday: Misi Inspektor Sani turut menerima kunjungan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Hannah Yeoh.
Dalam lawatan tersebut Hannah Yeoh bersama barisan selebriti dari Dapur Goodday: Misi Inspektor Sani seperti Zizan Razak, Isyariana, Saiful Apek dan Fauzi Nawawi turut mengedarkan 300 kotak susu tajaan Goodday kepada para pengunjung sebagai tanda penghargaan dan memeriahkan lagi sambutan festival.