Kota Kinabalu: Ketua Pemuda Sosialis DAP Sabah (DAPSY) Chan Loong Wei
(gambar) mengkritik Presiden Pas Abdul Hadi Awang berhubung kenyataannya yang mempersoalkan pendekatan berbeza harga bahan api antara Semenanjung dengan Sabah dan Sarawak sambil menyifatkan kenyataan itu menunjukkan kurangnya pemahaman terhadap asas pembentukan Malaysia serta keperluan sebenar kedua-dua negeri berkenaan.
Chan berkata sebagai pemimpin kanan yang juga mengetuai Perikatan Nasional (PN) Hadi sepatutnya lebih memahami bahawa Sabah dan Sarawak bukan sekadar negeri biasa sebaliknya rakan kongsi setara dalam pembentukan negara berdasarkan semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Advertisement
_E.jpg)
Beliau menyatakan kenyataan Hadi itu seolah-olah menafikan hakikat bahawa dasar nasional perlu mengambil kira perbezaan struktur, geografi dan kos sara hidup antara wilayah.
“Kos logistik yang lebih tinggi, jarak perjalanan luas serta bentuk muka bumi mencabar di Sabah dan Sarawak menjadi justifikasi kepada pendekatan berbeza dalam penetapan harga bahan api khususnya diesel yang penting bagi pengangkutan dan bekalan barangan.
“Pendekatan berbeza antara Semenanjung dengan Sabah dan Sarawak bukan satu bentuk ketidakadilan sebaliknya merupakan langkah yang perlu, adil dan pragmatik.
“Jika semua wilayah dilayan sama tanpa mengambil kira perbezaan jelas ia hanya akan menyebabkan ketidakseimbangan yang lebih besar,” katanya.
Advertisement

Chan turut menyatakan kebimbangan terhadap kenyataan Presiden Pas itu yang disifatkan mencerminkan sikap tidak menghormati kedudukan Sabah dan Sarawak sebagai rakan setara dalam Persekutuan.
Beliau menegaskan bahawa Malaysia tidak dibina atas prinsip “satu pendekatan untuk semua” tetapi sebaliknya berasaskan kefahaman bahawa setiap wilayah mempunyai ciri unik yang perlu diiktiraf dan dihormati.
Sehubungan itu beliau menggesa semua pemimpin politik agar tidak mempolitikkan isu yang memberi kesan langsung kepada kebajikan rakyat malahan sebaliknya menumpukan kepada dasar yang berasaskan fakta, realiti tempatan serta prinsip keadilan dan keterangkuman.