KUNAK: Selepas beberapa hari bekalan beras habis di pasaran, situasi kembali pulih pada Khamis apabila pihak pembekal menghantar beras putih tempatan dan import ke sini.
Premis perniagaan Kunak sebelum ini, termasuk pasar raya serta kedai runcit, berdepan masalah kehabisan stok akibat aktiviti pembelian panik dan berlebihan oleh pengguna.
Advertisement
_E.jpg)
Kehabisan bekalan itu dicetuskan oleh penyebaran berita palsu di media sosial, termasuk Facebook dan WhatsApp, serta dikaitkan dengan konflik di Asia Barat, sehingga ada dalam kalangan pengguna membeli antara tujuh hingga 10 kampit beras, melebihi keperluan semasa.
Pembelian panik itu juga memberi kesan kepada sebilangan peniaga nasi lemak di sini yang tidak mendapat bekalan beras sejak Ahad lalu.
Tinjauan
Daily Express pada Jumaat mendapati dua pasar raya di pekan Kunak kini menjadi tumpuan pengguna untuk mendapatkan bekalan beras putih.
Pasar raya dan kedai runcit juga mengehadkan penjualan kepada hanya 20 kilogram atau dua kampit paket 10 kilogram beras putih tempatan atau import bagi setiap pembeli, namun pengguna masih boleh mendapatkan beras wangi yang dijual tanpa had pembelian.
Advertisement

Terdahulu, Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan (Maffi), Datuk Jamawi Jaffar, pada Khamis berkata kementerian itu menetapkan had pembelian hanya dua kampit beras untuk setiap individu.
Langkah itu diambil selepas kementerian mendapati berlaku pembelian panik dan berlebihan dalam kalangan pengguna meskipun bekalan adalah mencukupi.
Kementerian juga telah memanggil semua agensi berkaitan, termasuk pihak penguat kuasa, pemborong dan peruncit bagi menangani isu tersebut secara menyeluruh.
Dalam perkembangan sama, Presiden Barisan Pengguna Sabah (CFOS), Nordin Thani, sebelum ini juga berpendapat had pembelian beras perlu dilaksanakan bagi membendung pembelian panik dan berlebihan oleh individu, serta menjamin semua pengguna dapat memperoleh bekalan mengikut keperluan semasa.
Sementara itu di SANDAKAN, bekalan beras di sini masih mencukupi untuk keperluan harian pengguna ketika ini.
Sehubungan itu, Ketua Cawangan Kawal Selia Padi dan Beras (KPB) Bahagian Sandakan, Azwan Amir menasihatkan semua pengguna agar tidak membuat pembelian panik.
“Harga beras juga masih sama iaitu terkawal dan tidak naik melebihi harga semasa yang ditetapkan,” katanya dalam kenyataan, Jumaat.
Orang ramai di daerah ini juga dinasihatkan agar membuat aduan atau pertanyaan secara terus mengenai bekalan beras kepada Pejabat Kawal Selia Padi dan Beras Cawangan Sandakan atau melalui 089-227209.