Kota Kinabalu: Ibu kepada Pelajar A memberitahu Mahkamah Koroner bahawa susulan insiden melibatkan Allahyarham Zara Qairina Mahathir, anaknya terus berdepan kecaman awam sehingga hari ini malah ada yang melabelnya sebagai “pembunuh”.
Saksi ke-62 itu berkata keluarganya berdepan tekanan hebat daripada netizen pada minggu anaknya didakwa.
Advertisement

“Nama dan maklumat peribadi anak kami disebarkan secara meluas di media sosial.
“Ada orang cuba mengesan keberadaannya. Setiap kali kami keluar atau pulang ke rumah seolah-olah orang lain tahu pergerakan kami.
“Sepanjang tempoh ini anak saya terus dikritik orang ramai dan ada yang melabelnya sebagai pembunuh,” katanya dengan suara sebak ketika membaca pernyataan saksinya di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan.
Pelajar A adalah antara lima pelajar yang didakwa di Mahkamah Kanak-Kanak berhubung insiden membabitkan Zara.
Ibu tersebut turut memberitahu bahawa beliau amat tertekan apabila keterangan anaknya kepada polis bocor dan anaknya dituduh mereka-reka cerita.
Menurut saksi kenyataan tersebut adalah perkara yang Zara ceritakan kepada anaknya yang dipercayainya sebagai tempat selamat untuk meluahkan perasaan.
“Semua yang dilihat dan disaksikan anak saya telah diceritakan sepenuhnya kepada polis.
“Anak saya tidak pernah mengkhianati Zara. Persahabatan mereka ikhlas dan saya menerima persahabatan itu sepenuhnya.
“Namun ada pihak yang takut dengan kenyataan ini dan memaksa saya mengubahnya.
“Akibatnya anak saya diseret ke dalam tuduhan, maruahnya dipijak-pijak, dihina dan dilempar pelbagai tohmahan.
“Sehingga hari ini anak saya masih dituduh sebagai pembunuh di sekolah baharunya.
“Anak saya menangis teresak-esak apabila menceritakan semula kejadian itu. Mereka lebih memilih cerita rekaan dan takut kepada kebenaran,” katanya.
Ibu Pelajar A turut memberitahu mahkamah bahawa kenyataan seorang pengawal keselamatan sekolah dikenali sebagai “Aunty Linah” yang mendakwa Pelajar A tidak trauma kerana membuat isyarat “peace” telah mencetuskan kecaman netizen.
Saksi berkata Aunty Linah tersilap memaklumkan mahkamah bahawa beliau datang ke asrama pada malam 17 Julai untuk mengambil anaknya.
“Sebenarnya malam itu saya hanya menelefon warden Cikgu Fatimah untuk bertanya sama ada kami dibenarkan membawa pulang anak kami. Jawapannya tidak,” katanya.
Beliau turut meluahkan rasa kecewa terhadap tindakan tidak bertanggungjawab pihak tertentu yang mengeksploitasi dan menyebarkan gambar anaknya serta Zara secara berlebihan.
“Saya percaya gambar tular itu datang daripada kedua-dua belah pihak. Saya anggap tindakan ini berniat jahat dan seolah-olah memperjudikan masa depan anak saya,” katanya.
Beliau memaklumkan telah membuat 12 laporan polis berkaitan insiden Zara.
Saksi turut berkata anaknya terus berdepan tuduhan selepas berpindah ke sekolah baharu.
“Beberapa hari selepas mendaftar, semasa anak saya berada di dalam kelas seorang pelajar merenungnya, membuat muka dan melabelnya ‘pembunuh’.
“Dalam satu kejadian lain ketika anak saya naik ke pentas menerima hadiah tempat pertama beberapa pelajar turut menjerit ‘pembunuh’ kepadanya,” katanya.