TAWAU: Seorang pelajar perempuan berusia 18 tahun yang sedang menunggu keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) maut selepas motosikal yang ditungganginya bersama adik lelakinya berusia 17 tahun dilanggar sebuah kereta di Jalan Merotai-Tawau pada jam 4.30 petang Khamis.
Mangsa disahkan meninggal dunia pada jam 4.08 pagi di Hospital Tawau, pada Jumaat.
Ketua Polis Daerah Tawau ACP Jasmin Hussin berkata adik lelaki mangsa yang merupakan pelajar vokasional berada dalam keadaan stabil.
Pemandu kereta sedan berusia 44 tahun itu dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan. Siasatan awal mendapati kereta terbabit sedang bergerak dari bandar Tawau menuju ke Felda Umas manakala dua beradik itu dalam perjalanan dari Kampung Menggaris Merotai Besar ke bandar.
Jasmin berkata pemandu itu dipercayai terlelap seketika (microsleep) menyebabkan kenderaan hilang kawalan, memasuki laluan bertentangan dan melanggar motosikal terbabit.
Dia akan direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan denda antara RM5,000 hingga RM10,000 serta hukuman penjara sehingga 12 bulan jika sabit kesalahan kerana memandu secara melulu atau berbahaya sehingga menyebabkan kematian.
Jasmin menasihatkan pemandu supaya memastikan mendapat rehat mencukupi sebelum memandu dan tidak meneruskan perjalanan ketika mengantuk, sambil menegaskan bahawa ‘microsleep’ boleh mendatangkan bahaya besar kepada semua pengguna jalan raya.
Di BEAUFORT Pemandu dua kenderaan cedera dalam kemalangan di Km11, Jalan Kampung Lumadan, di laluan Beaufort–Sipitang, pada Khamis.
Kedua-dua kenderaan itu termasuk ke dalam parit di bahagian jalan bertentangan.
Ketua Polis Daerah Beaufort Supt Wong Leong Meng berkata, salah seorang pemandu, Clement Kondu, 45, seorang Kadazan dari Kampung Batu 6 Lumadan dan pekerja ladang kelapa sawit, mengalami kecederaan di kepala. Dia memandu Proton Iswara dalam kejadian kira-kira jam 12.20 tengah hari itu.
Pemandu Toyota Hilux, Frankie Anduru, 38, seorang Murut dari Kampung Melutut, Ulu Tomani, yang bekerja sendiri, mengalami cedera ringan.
Siasatan awal mendapati Frankie sedang memandu dari Menumbok menuju ke Kemabong, Tenom manakala Clement memandu dari pekan Beaufort menuju ke Kampung Limpotong.
Apabila tiba di lokasi kejadian, Hilux terbabit melanggar bahagian belakang Iswara selepas Clement memperlahankan kenderaan untuk membelok ke kanan masuk ke simpang Kampung Limpotong.
Akibatnya, Hilux hilang kawalan lalu terbabas ke dalam longkang di sebelah kiri jalan manakala Iswara berpusing dan terjunam ke luar jalan di sebelah kanan.
Kes disiasat mengikut Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 Peraturan 10 LN166/59.

Di KENINGAU, seorang penjual sayur mengalami kecederaan di kepala selepas dilanggar sebuah trak tentera di kawasan Salarom Taka Nabawan sekitar tengah hari Selasa.
Kejadian berlaku apabila sebuah Toyota Hilux tiba-tiba keluar dari bahu jalan menyebabkan pemandu trak tentera hilang kawalan ketika cuba mengelak pelanggaran.