TAWAU: Kerajaan Negeri memahami kerinduan mahasiswa kepada kampung halaman masing-masing menjelang musim perayaan yang semakin hampir, kata Pembantu Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Rina Jainal.
Katanya, kerajaan negeri melalui inisiatif seperti Sentosa, Subfly dan Flysiswa menyediakan bantuan bagi meringankan kos perjalanan supaya mereka dapat pulang berhari raya bersama keluarga.
Menurut Rina, sokongan itu mencerminkan komitmen kerajaan negeri bagi memastikan mahasiswa Sabah terus bersemangat menuntut ilmu sekali gus menjadi aset penting bagi pembangunan negeri pada masa hadapan.
“Anak-anak Sabah ini harapan negeri. Terus belajar dan terus maju. Kami di Sabah sentiasa menyokong kamu semua,” katanya pada majlis berbuka puasa bersama mahasiswa dan mahasiswi Sabah di Setia City Convention Centre (SCCC) Shah Alam, Selangor, pada Ahad.
Rina berkata pertemuan itu memberi peluang kepada wakil-wakil rakyat dari Sabah untuk mendengar pengalaman, cabaran dan semangat anak-anak Sabah yang menimba ilmu jauh dari keluarga.
“Seronok dapat jumpa anak-anak Sabah yang sedang berjuang menuntut ilmu di perantauan. Sambil berbuka, kita bersembang santai, mendengar cerita dan semangat mereka,” tambahnya.
Adun Kukusan itu menekankan kepentingan interaksi sedemikian yang bukan sahaja mengeratkan hubungan mahasiswa dengan tanah air tetapi turut memberi motivasi dan semangat kepada mereka untuk terus menimba ilmu di perantauan.
Majlis itu diisi dengan sesi ramah mesra dan bergambar bersama mahasiswa sebagai kenangan sambil berkongsi cerita pengalaman dan cabaran pembelajaran di luar kampung halaman.