Kota Kinabalu: Seorang lelaki berusia 39 tahun dijatuhi hukuman penjara 12 bulan dan denda RM2,000 atau tambahan enam bulan penjara jika gagal membayar oleh Mahkamah Majistret pada Selasa kerana memecahkan tingkap dan perabot rumah ibunya menggunakan parang.
Tertuduh Daniel Aaron Sahamin mengaku bersalah di hadapan Majistret Marilyn Kelvin atas pertuduhan merosakkan tingkap dan perabot rumah di Kampung (Kg) Babah, Penampang pada 25 Februari, jam 10 pagi dengan menggunakan senjata tersebut sehingga menyebabkan kerugian sebanyak RM11,447 kepada pengadu Stephane @ Betty.
Pertuduhan di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan membawa hukuman penjara antara satu hingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Pegawai pendakwa Inspektor Yusdi Basri memaklumkan mahkamah bahawa pada hari kejadian Daniel menjadi agresif dan memecahkan barangan rumah sambil memegang parang untuk mengugut pengadu yang membuat laporan polis atas alasan keselamatan.
Siasatan mendapati tindakan Daniel berpunca daripada kemarahan selepas pengadu menegahnya berkenalan dan membawa wanita lain pulang ke rumah sedangkan beliau sudah berkahwin serta mempunyai seorang anak.
Daniel juga berdepan pertuduhan lain mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana mengugut untuk membunuh pengadu. Dia mengaku tidak bersalah bagi pertuduhan tersebut yang didakwa dilakukan di tempat dan masa yang sama.
Pertuduhan berkenaan membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Mahkamah menetapkan 14 April untuk pengurusan kes sebelum perbicaraan dan membebaskan tertuduh dengan jaminan RM1,600 beserta dua penjamin serta syarat tambahan agar tidak mengganggu pengadu dan saksi pendakwaan.
Tertuduh diwakili peguam bela bertugas Lim Ming Zoong, yang memohon hukuman ringan bagi pertuduhan pertama dan jumlah jaminan lebih rendah bagi pertuduhan kedua.