TAWAU: Kementerian Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi bakal mengemukakan permohonan peruntukan kepada Kerajaan Negeri bagi menaik taraf serta menyelenggara kemudahan di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Tawau.
Menterinya Datuk Dr James Ratib berkata permohonan itu akan dibawa ke peringkat Kabinet Negeri selepas kementeriannya meneliti beberapa keperluan mendesak yang dibangkitkan oleh pengurusan kampus semasa lawatan kerja beliau ke IPG Tawau pada Ahad.
Menurutnya antara keutamaan yang dikenal pasti ialah kerja-kerja penyelenggaraan pagar usang kampus terbabit yang disifatkan penting bagi menjamin keselamatan serta mewujudkan persekitaran pembelajaran lebih kondusif.
Selain peruntukan Kerajaan Negeri beliau berkata pihaknya akan turut mendapatkan sokongan dan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bagi merealisasikan keperluan infrastruktur di kampus berkenaan.
Dalam lawatannya Dr James turut memaklumkan bahawa keperluan pembekalan papan pintar (smart board) akan turut dipertimbangkan bagi menyokong kaedah latihan dan pembelajaran bakal-bakal guru.
Katanya usaha tgerbabit selari dengan agenda pendigitalan pendidikan negeri bagi memastikan bakal pendidik terdedah kepada penggunaan teknologi terkini dalam pedagogi.
Tambah beliau pihaknya akan turut meneliti isu liputan internet dan telekomunikasi di sekitar kampus sebelum membawanya ke perhatian pihak berwajib termasuk Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
Langkah itu katanya adalah bagi mengatasi masalah kekurangan capaian data internet yang menjejaskan proses pembelajaran.
Terdahulu beliau yang meninjau keperluan kemudahan serta perkembangan latihan perguruan di kampus itu diberi taklimat oleh pihak pengurusan IPG Tawau berhubung beberapa keperluan utama kampus khususnya melibatkan aspek keselamatan, kemudahan pembelajaran dan infrastruktur sokongan.
Dalam masa sama pihak pengurusan IPG Kampus Tawau turut mengemukakan permohonan peruntukan bagi penyediaan bas baharu untuk menggantikan bas sedia ada yang sudah uzur bagi kegunaan pelatih dan warga kampus.
Dr James berkata kementeriannya kekal komited untuk terus bekerjasama dengan pelbagai pihak dalam memperkukuh kemudahan latihan perguruan serta menyokong pembangunan pendidikan berkualiti di negeri ini.