Kota Kinabalu: Kerajaan menyalurkan RM1.525 juta kepada lima institusi Maahad Tahfiz bagi membantu pembangunan dan memperkukuh operasi institusi berkenaan di Sabah.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata bantuan itu melibatkan Pondok Pesantren Nurul Ihsan Sandakan, Sekolah Pondok Miftahussalam Sandakan, Pondok Al-Hasyimi Al-Qadri Kudat, Pusat Pengajian Tahfiz Al Quran Babussalam Matunggong, Kudat dan Pondok Fii Dzilalil Quran Kota Belud.
“Jumlah pelajar maahad tahfiz di Malaysia mencecah kira-kira 400,000 orang menunjukkan peranan penting besar institusi itu dalam membentuk sahsiah dan nilai agama dalam kalangan generasi muda.
“Sejak 2003, keputusan kerajaan pada ketika itu adalah menghentikan semua bantuan pada sekolah-sekolah rakyat.
“Kali ini, kerajaan bersetuju menyalurkan peruntukan RM1.525 juta bagi membantu maahad tahfiz yang terlibat.
“Bantuan ini bertujuan menaik taraf infrastruktur selain memperkenalkan pendidikan digital dan kecerdasan buatan (AI),” katanya ketika berucap semasa Majlis Berbuka Puasa Bersama Perdana Menteri di Kompleks Dewan Kuliah Pusat Ke-2 Universiti Malaysia Sabah, Ahad.
Menurut beliau, kerajaan tidak campur tangan dalam menentukan manhaj atau kurikulum pengajian institusi tahfiz termasuk hafazan Al-Quran atau kitab tradisional yang diajar di institusi tersebut.
“Apa yang diajar di maahad tahfiz seperti hafazan Al-Quran atau kitab tradisional merupakan urusan institusi berkenaan.
“Bagaimanapun, terdapat beberapa asas pendidikan yang perlu dipelajari oleh semua pelajar termasuk penguasaan Bahasa Melayu serta pengetahuan mengenai sejarah negara,” ujarnya.
Beliau berkata langkah itu penting bagi memastikan pelajar tahfiz turut memahami asas pembinaan negara serta jati diri kebangsaan.
Hadir sama, Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Datuk Mustapha Sakmud serta Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali.