TAWAU: Seramai 310 penduduk hilang tempat tinggal apabila kebakaran besar memusnahkan kira-kira 40 rumah kayu di Kampung Titingan, Batu 2 Jalan Apas, di sini, sekitar jam 10 pagi Isnin.
Ketua Zon Tawau Jabatan Bomba dan Penyelamat Sabah Moilley Milin berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kebakaran itu pada 10.15 pagi dan tiga jentera tiba di lokasi kejadian pada 10.23 pagi.
“Pihak Bomba menggunakan sumber air terbuka serta melalui tanker air bomba bagi proses pemadaman, dan operasi terkawal pada 12.03 tengah hari,” katanya kepada pemberita, Isnin.
Setakat ini, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan punca kebakaran masih dalam siasatan.
Menurut Jabatan Kebajikan Masyarakat, sebanyak 70 Ketua Isi Rumah (KIR) hadir mendaftar di pusat pendaftaran mangsa setakat jam 5 petang.
Dalam pada itu, seorang mangsa kebakaran Saparida Ambuolo yang berusia lingkungan 60-an berkata, ketika itu dia sedang menunai solat sunat dhuha pada 10 pagi sebelum mendengar jeritan jiran mengenai kebakaran.
“Kejadian kebakaran itu pengalaman kedua saya. Tidak tahu lagi mahu tinggal di mana selepas ini, saya harap kerajaan boleh menyediakan rumah kepada mangsa kebakaran seperti Program Perumahan Rakyat,” katanya.
Saparida Ambuolo juga reda dengan ujian itu ketika menjelang Ramadan, dan tiada lagi persiapan duntuk menyambut bulan mulia itu.
Surirumah, Sarimah Mulok, 37, yang tinggal bersama suami, lima anak dan seorang kakak ipar mengakui masih berpantang selepas melahirkan bayi lelakinya yang baharu berusia 15 hari semasa kejadian berlaku.
“Sekalipun panik dan menanggung kesakitan kerana berpantang, saya terpaksa gagahkan diri untuk menyelamatkan anak-anak kerana suami keluar bekerja semasa kejadian,” katanya.
Sarimah berharap nasib mereka sekeluarga mendapat perhatian pihak berkaitan yang kini amat memerlukan bantuan seperti susu bayi, lampin dan barangan keperluan lain, termasuk izin membina rumah semula di tapak asal.
Pengawal keselamatan, Amsah Madong, 61, yang tinggal bersama anak saudara lelakinya, 27, pula berkata mereka berdua akan menumpang di rumah saudara sementara menanti kebenaran membina semula rumah.
“Kita berharap ada bantuan yang diberikan oleh pihak berkaitan dari segi kewangan, pakaian dan barangan dapur termasuk bahan-bahan binaan untuk mendirikan rumah,” katanya.
Seorang lagi mangsa, Mausah Brahim, 54, yang juga peniaga persendirian berkata kebakaran berlaku ketika bekerja di hadapan komputer di ruang tamu.
Dia dan keluarganya sempat menyelamatkan dokumen peribadi, televisyen, komputer, alat cetakan elektronik, kamera dan beberapa pakaian dari rumah menuju ke tepi tembok pagar sekolah.
Sementara itu Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau Penolong Penguasa Bomba Jemishin Ujin berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 10.15 pagi menerusi talian NG999 dan tiba di lokasi kejadian kurang 10 minit kemudian.
Jemishin berkata bomba menghantar seramai 25 anggota yang diketuai oleh Komander Operasi Pegawai Bomba Kanan I Mohd Yahya Abd Fattah dan turut dihadiri Ketua Zon Lima Tawau Penguasa Kanan Bomba II Moilley Milin.
“Operasi pemadaman di lokasi kejadian menghadapi kesukaran dan cabaran disebabkan tekanan air yang rendah dan keadaan angin yang tidak menentu.
“Pada masa sama tidak ada kes kehilangan jiwa dilaporkan dan operasi terkawal diisytiharkan pada jam 11.54 pagi sebelum ditamatkan pada jam 3.19 petang,” katanya.
Turut membantu, Bomba Komuniti Titingan (tujuh anggota), Polis DiRaja Malaysia (enam orang), Sabah Electricity Sdn Bhd (tiga), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (15) dan Jabatan Air Tawau (empat).