SANDAKAN: Ketiadaan tanda larangan merokok yang jelas serta kegagalan menyediakan kawasan khas merokok di Lapangan Terbang Sandakan mencetuskan rungutan dalam kalangan pelancong dan orang awam.
Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Karamunting, Datuk George Hiew Vun Zin berkata dia menerima banyak aduan berhubung tindakan penguatkuasaan terhadap individu yang merokok di kawasan luar lapangan terbang, khususnya di laluan ketibaan.
Menurutnya, isu utama berpunca daripada ketiadaan tanda larangan merokok yang jelas dan mudah dilihat, selain kekurangan tanda terperinci yang menunjukkan kawasan dibenarkan untuk merokok.
Beliau berkata, keadaan itu bukan sahaja menimbulkan rasa tidak puas hati, malah dibimbangi boleh memberi kesan negatif terhadap imej Sandakan dan Sabah sebagai destinasi pelancongan.
“Di beberapa lokasi, khususnya di laluan utama ketibaan dan kawasan luar, penunjuk yang disediakan tidak mencukupi. Pelancong yang baru tiba sukar memahami peraturan sedia ada dan akhirnya melanggar larangan tanpa disengajakan,” katanya.
George menambah, pengenaan denda serta-merta dalam keadaan sedemikian boleh dianggap tidak adil kerana kesalahan berlaku akibat kekeliruan, bukannya ketidakpatuhan secara sengaja.
Sehubungan itu, dia mengadakan pertemuan dengan pegawai Lapangan Terbang Sandakan, Mohamad Nazri, serta Kaunselor Kesihatan Majlis Perbandaran Sandakan (MPS), Nicholas Choong, bagi membincangkan keperluan menyediakan tanda larangan merokok yang lebih jelas serta kawasan khas merokok.
George mencadangkan pihak berkuasa segera memasang lebih banyak tanda larangan merokok di lokasi strategik, di samping memperincikan kawasan larangan dan zon merokok yang dibenarkan supaya mudah difahami oleh pengunjung.
“Sekiranya tanda jelas telah dipaparkan dan pelanggaran masih berlaku, tindakan penguatkuasaan wajar diambil. Namun, apabila pelawat tidak dimaklumkan dengan secukupnya, amaran lisan seharusnya diberi keutamaan,” katanya.
George turut menegaskan bahawa menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026, semua pihak berkaitan perlu lebih peka terhadap pengalaman awal pelancong sebaik tiba di negeri ini.