SANDAKAN: Tujuh individu ditahan dalam Operasi Bersepadu Pengemis dan Orang Kurang Siuman yang dijalankan di sekitar bandar Sandakan, pada Khamis.
Operasi berkenaan dilaksanakan sebagai usaha bersepadu bagi membendung dan mengurangkan masalah pengemis serta individu kurang siuman yang semakin ketara di kawasan tumpuan awam.
Operasi itu melibatkan kerjasama pelbagai agensi termasuk Majlis Perbandaran Sandakan, polis, Jabatan Kebajikan Masyarakat, hospital dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia.
Daripada tujuh individu itu, empat merupakan warganegara Malaysia manakala tiga lagi dikenal pasti sebagai bukan warganegara.
Kesemua individu berkenaan ditemui mengemis atau berkeliaran dalam keadaan tidak terurus di beberapa lokasi strategik sekitar bandar Sandakan, sekali gus menimbulkan kebimbangan terhadap keselamatan awam.
Operasi ini turut bertujuan memastikan individu yang memerlukan bantuan kebajikan dan rawatan kesihatan diberikan perhatian sewajarnya.
Majlis Perbandaran Sandakan berkata operasi seumpama ini akan diteruskan dari semasa ke semasa demi menjamin kesejahteraan, keselamatan dan keharmonian masyarakat setempat.