SOOK: Sembilan rumah membabitkan empat kampung di sini mengalami kerosakan akibat angin kencang yang berlaku pada petang Rabu.
Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Sook Amzan Jahidin yang melawat tempat kejadian pada Khamis, berkata kebanyakan rumah yang terlibat mengalami kerosakan pada bahagian bumbung dan terdapat juga rosak dinding.
Katanya, kampung terlibat adalah Kampung Pagalungan Ansip melibatkan lima rumah, Kampung Pagalungan Baru (Lilian Sumingkot) dua rumah, Kampung Singgah Mata dan Kampung Ansip Laut masing-masing sebuah rumah.
“Lawatan ini adalah susulan aduan yang diterima daripada penduduk kampung terlibat,” katanya.
Beliau berkata tujuan lawatan adalah bagi menilai tahap kerosakan, mendapatkan maklumat terperinci serta memastikan bantuan dan tindakan susulan dapat diselaraskan dengan pihak berkaitan.
“Pihak UPPM Sook akan terus memantau perkembangan dan berusaha membantu mangsa yang terkesan agar kebajikan mereka terus terbela,” tambahnya.
Sementara itu, ahli keluarga terjejas berharap bantuan peralatan membaiki rumah mereka yang mengalami kerosakan disalurkan segera.