SANDAKAN: Seramai 425 guru ditempatkan di empat daerah Zon Sandakan bagi memperkukuhkan sistem pendidikan di Sabah yang mempunyai lebih 1,000 sekolah termasuk di kawasan luar bandar dan pedalaman.
Empat daerah itu membabitkan Sandakan, Telupid, Beluran dan Kinabatangan.
Pengarah Pendidikan Negeri Datuk Raisin Saidin berkata profesion perguruan menuntut ketabahan, kesabaran dan keikhlasan khususnya dalam berdepan cabaran sebelum dan selepas memasuki perkhidmatan.
Katanya jumlah permohonan untuk menjadi guru amat tinggi dan ramai calon menunggu tempoh yang lama sebelum dilantik.
“Mereka yang telah diberi peluang perlu menghargai amanah tersebut.
“Semua guru yang ditempatkan adalah terlatih dan bersedia berkhidmat di mana sahaja termasuk di luar bandar dan pedalaman,” katanya semasaTaklimat
Perkhidmatan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PPP) DG9 Dewan SMK Merpati, di sini, baru-baru ini.
Taklimat itu melibatkan lantikan tetap, interim dan kontrak bagi sekolah rendah dan menengah.
“Penempatan ini perlu diterima dengan rela hati kerana anda sendiri memilih profesion ini,” katanya.
Beliau mengingatkan guru-guru agar tidak melupakan pengorbanan ibu bapa yang melepaskan anak-anak mereka ke sekolah dengan harapan mereka menjadi insan berguna kepada masyarakat.
Menurutnya, seseorang guru yang mendapati profesion itu tidak sesuai dengan jiwa dan raga mereka dan bertindak tidak ikhlas boleh menjejaskan masa depan murid.
“Saya tidak mahu melihat masa depan anak-anak di Sabah terjejas akibat sikap dan tindakan yang tidak bertanggungjawab. Ini adalah peringatan tegas,” katanya sambil mengiktiraf sumbangan serta dedikasi guru.
Katanya, pendekatan guru masa kini berbeza berbanding dahulu selari dengan perubahan zaman dan perkembangan media sosial yang menjadikan setiap tingkah laku guru sentiasa diperhatikan masyarakat termasuk di kawasan pedalaman.
Beliau turut menggariskan empat perkara utama yang perlu diberi perhatian oleh warga pendidik antaranya menyayangi murid dengan penuh tanggungjawab serta menjaga emosi dan mental mereka di samping berhati-hati dalam menunjukkan kasih sayang agar tidak disalaherti.
Ini turut termasuk menghormati rakan sejawat bagi membentuk pasukan sekolah yang kukuh, menjaga hubungan baik dengan ibu bapa kerana sekolah tidak dapat berfungsi tanpa sokongan mereka serta mengelakkan sebarang tindakan yang boleh menjejaskan imej dan kepercayaan masyarakat.