LAHAD DATU: Tiga lelaki cedera selepas kenderaan Toyota Vigo yang mereka naiki terbabas dan terjunam ke dalam gaung sedalam kira-kira 20 kaki di KM13, Jalan SMK Segama, di sini, pada Ahad.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Daerah Sumsoa Rashid berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada jam 1.02 pagi.
Seramai sembilan anggota bomba digerakkan ke lokasi kejadian dengan dua jentera. Polis serta petugas kesihatan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) turut berada di lokasi.
Ketika tiba, komander operasi melaporkan sebuah Toyota Vigo terbabas sebelum terjatuh ke dalam gaung.
“Tiga mangsa terperangkap di dalam kenderaan dan berjaya diselamatkan menggunakan peralatan kemalangan jalan raya (RTA).
“Mangsa-mangsa dibawa naik ke bahu jalan menggunakan tali dan pengusung. Ketiga-tiga mangsa yang cedera kemudian diserahkan kepada Kementerian Kesihatan untuk rawatan lanjut di hospital,” katanya.
Sumsoa berkata operasi ditamatkan pada jam 2.17 pagi selepas pasukan memastikan tiada lagi bahaya di lokasi kejadian.