SEMPORNA: Sebuah rumah dua tingkat seluas 30x40 kaki persegi mengalami kerosakan 70 peratus akibat kebakaran di Taman Miramas, di sini, pada Sabtu malam.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Semporna Rastam Keladi berkata jabatan itu menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada jam 10.54 malam.
Seramai lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Semporna dikejarkan ke lokasi kejadian dan tiba tiga minit kemudian.
Apabila tiba, komander operasi melaporkan sebuah rumah sedang terbakar.
“Operasi pemadaman dijalankan menggunakan satu aliran sepanjang 400 kaki, dua pancutan, dengan sumber air diperoleh daripada tangki jentera FRT dan CFRT serta pili bomba,” katanya.
Tindakan pantas jabatan berjaya menyelamatkan sebuah rumah daripada musnah dalam kebakaran dan hanya mengalami kira-kira lima peratus kerosakan pada dinding pemisah.
Pasukan itu juga berjaya menghalang api daripada merebak ke 19 rumah lain di kawasan berkenaan. Tiada mangsa dilaporkan cedera.
Operasi ditamatkan pada jam 12.14 tengah malam selepas pasukan memastikan tiada lagi bahaya di lokasi kejadian.