Kota Kinabalu: Dua bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) yang didakwa atas kesalahan rasuah berjumlah RM350,000 berkaitan permohonan mendapatkan lesen penerokaan mineral di Sabah, akan menjalani perbicaraan bersama pada Jun tahun ini.
Hakim Mahkamah Sesyen Elsie Primus menetapkan perbicaraan terhadap bekas Adun Sindumin Datuk Dr Yusof Yacob dan bekas Adun Tanjung Batu Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy pada 15, 16, 18, 19, 29 dan 30 Jun serta memerintahkan kedua-dua kes digabungkan.
Perkara itu disebut untuk pengurusan kes lanjut pada Khamis bagi membolehkan pihak pendakwaan mendapatkan arahan daripada ibu pejabat berhubung penggabungan kedua-dua kes berkenaan.
Pendakwaan memohon agar kes tersebut digabungkan dan permohonan itu tidak dibantah oleh peguam bela kedua-dua tertuduh.
Apabila ditanya oleh mahkamah, pihak pendakwaan memaklumkan bahawa seramai 40 saksi akan dipanggil dalam perbicaraan tersebut.
Dalam prosiding sama, peguam bela turut memaklumkan mahkamah bahawa pada sebutan sebelum ini mereka telah memohon lanjutan pelepasan sementara pasport anak guam masing-masing untuk tempoh enam bulan lagi. Permohonan itu tidak dibantah oleh pihak pendakwaan.
Hakim Elsie membenarkan permohonan berkenaan dan melanjutkan pelepasan pasport kedua-dua tertuduh sehingga 30 Jun tahun ini.
Pada 30 Jun 2025 Dr Yusof, 69, dan Andi Muhammad Suryady, 44, yang juga Ahli Parlimen Kalabakan telah mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan rasuah yang dihadapkan ke atas mereka.
Dr Yusof didakwa menerima rasuah berjumlah RM200,000 daripada seorang ahli perniagaan Datuk Tei Jiann Cheing, juga dikenali sebagai Albert Tei, selaku dorongan untuk membantu memudahkan permohonan lesen pencarigalian bagi penerokaan mineral di Sabah pada jam 2 petang di sebuah hotel, 6 Mac 2023.
Sementara itu Andi Suryady didakwa menerima rasuah RM150,000 daripada Tei sebagai dorongan bagi memudahkan permohonan lesen pencarigalian untuk penerokaan mineral di Sabah di kediamanya pada jam 11 malam, 12 Mei 2023.
Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Dr Yusof dan Andi Muhammad Suryady diwakili barisan peguam terdiri daripada Datuk Ram Singh, Ridzwandean Bukhary M Borhan, Shahlan Jufri dan Elhanan James manakala Datin Jaharah Patimbangi turut mewakili Andi Suryady. Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Wardah Ishhar.
Sementara itu, Tei yang didakwa menawarkan rasuah berjumlah keseluruhan RM350,000 kepada kedua-dua ahli politik berkenaan, dijadualkan menghadapi perbicaraan berasingan dari 20 hingga 24 April tahun ini.