SEMPORNA: Seorang anggota Unit Komando VAT 69 berusia lingkungan 40-an maut semasa menjalani latihan selaman di perairan Pulau Mataking, di sini, pagi Khamis.
Difahamkan, kejadian berlaku pada kira-kira 10.25 pagi.
Mangsa, Inspektor Khairul Azhar Kamaruddin, dilaporkan tidak sedarkan diri ketika latihan berhampiran pos bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Menurut maklumat, pegawai berkenaan tiba di jeti pada 8 pagi dan telah menyelesaikan persiapan peralatan sebelum bergerak ke lokasi latihan. Maklumat kecemasan diterima selepas sebuah resort berhampiran memaklumkan bahawa mangsa tidak sedarkan diri.
Mangsa diberi rawatan kecemasan di lokasi kejadian sebelum dibawa ke Hospital Semporna, namun disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan.
Mengesahkan kematian itu, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Ismail berkata polis sedang menjalankan siasatan bagi menentukan punca kematian, termasuk menilai prosedur latihan, peralatan digunakan serta faktor-faktor kesihatan dan keselamatan lain.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail turut menzahirkan ucapan takziah menerusi satu hantaran di Facebook, menyifatkan pemergian anggota berkenaan sebagai satu kehilangan besar kepada PDRM dan Kementerian Dalam Negeri.