KINABATANGAN: Calon Bebas Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kinabatangan, Goldam H Salangah menggesa semua pihak menjadikan pilihan raya itu sebagai medan untuk menghapuskan fahaman ‘ada wang, ada undi’ atau ‘penganuan’ (istilah tempatan) yang disifatkan merosakkan sistem demokrasi negara.
Menurut Goldam, sepanjang lebih seminggu berkempen, perkara itu menjadi antara intipati utama yang sering ditekankan kepada para pengundi di kawasan terbabit.
Katanya, beliau menyertai PRK Kinabatangan bukan kerana mahu menjadi kaya raya atau mengejar jawatan semata-mata, sebaliknya mahu membawa perubahan dalam cara berfikir dan budaya politik rakyat.
“Untuk kali ini, kita kena ubah, kita kena mulakan sesuatu. Kalau setiap kali pilihan raya wang itu jadi faktor utama, negara dan negeri kita tidak akan ke mana-mana.
“Pilihan raya ini bukan pertandingan siapa yang banyak duit, tetapi pertandingan mengemukakan calon, pertandingan potensi, pertandingan hujah dan fakta,” katanya semasa kempen rumah ke rumah di kawasan Tongod, pada Rabu.
Goldam menegaskan, amalan mengharapkan wang dan memberi wang demi mendapatkan undi hanya akan merosakkan negara dan perlu dihentikan, bermula dengan PRK Kinabatangan.
Dalam pada itu, beliau turut menggesa pengundi dan semua calon yang bertanding supaya bersama-sama mempromosikan agenda politik bersih dan matang.
Sehubungan itu, beliau menggesa pengundi di Parlimen Kinabatangan agar memberi peluang kepadanya untuk membawa pembangunan dan perubahan kepada kawasan berkenaan.