BADAN Perlindungan Hak Cipta Muzik Berhad (MACP) percaya terdapat keperluan untuk mengadakan perbincangan yang lebih mendalam bersama badan industri bagi memastikan penggunaan Kecerdasan Buatan (AI) tidak mengeksploitasi karya pencipta.
Ketua Pegawai Eksekutif MACP, Mary Yap berkata Garis Panduan AI yang dilancarkan pada 3 Mac lalu mencerminkan komitmen badan pengurusan kolektif (CMO) itu dalam memastikan teknologi AI tidak mengancam hak cipta serta kepentingan pencipta muzik di Malaysia.
Beliau berkata MACP menyambut baik kenyataan Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, bahawa AI seharusnya berfungsi sebagai alat bantuan dalam proses kreatif, dan bukannya sebagai pengganti kepada keaslian kreativiti manusia.
“MACP menyambut baik kenyataan Menteri. Ketegasan beliau memberikan isyarat jelas kepada semua pihak bahawa hak ekonomi dan hak moral pencipta adalah keutamaan yang perlu dipelihara serta dilindungi.
“MACP akan terus memainkan peranan aktif dalam menyahut seruan kerajaan untuk memastikan pencipta muzik terus dilindungi oleh kerangka undang-undang sedia ada,” katanya dalam kenyataan itu.
Menurutnya, Garis Panduan AI MACP merupakan langkah awal dalam melindungi hak cipta serta memperjuangkan hak ekonomi dan moral pencipta, selari dengan visi kerajaan.
“Sebarang penggunaan karya hak cipta bagi tujuan latihan AI atau Perlombongan Teks dan Data (TDM) tidak seharusnya diberikan pengecualian undang-undang yang boleh menjejaskan pemilik hak cipta dan hendaklah menitikberatkan prinsip ketelusan, persetujuan pemilik hak serta pampasan yang adil.
“Selaras dengan prinsip ‘the creative act is a human act’ yang disebut oleh Menteri, MACP menetapkan bahawa perlindungan hak cipta dan royalti hanya diberikan kepada karya ciptaan manusia sepenuhnya,” katanya.
Menurutnya, MACP akan dari semasa ke semasa meneliti dan mengemas kini Garis Panduan AI ini bagi memastikan ia kekal relevan, seiring perkembangan undang-undang serta terus memberikan perlindungan yang kukuh kepada pencipta muzik di negara ini.